Putrajaya agih RM67.74 juta kutipan cukai pelancongan pada 13 negeri

Sabah mendahului negeri lain dalam jumlah kutipan cukai pelancongan tertinggi yang mencecah RM25.34 juta tahun lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan sudah mengembalikan 50% kutipan cukai pelancongan tahun lalu yang berjumlah RM67.74 juta kepada semua kerajaan negeri seperti dijanjikan Putrajaya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata, 50% cukai itu sudah dikembalikan kepada 13 negeri hujung bulan ini.

Katanya, Sabah mendahului jumlah kutipan cukai pelancongan tertinggi sebanyak RM25.34 juta, disusuli Pulau Pinang (RM21.97 juta), Selangor (RM20.6 juta), Johor (RM15.98 juta), Pahang (RM15.72 juta), Melaka (RM10.7 juta), Kedah (RM10.17 juta), Sarawak (RM5.16 juta), Negeri Sembilan (RM4.95 juta), Perak (RM2.5 juta), Terengganu (RM2.05 juta), Kelantan (RM300,000) dan Perlis (RM40,000).

Lim mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, sama ada Kementerian Kewangan akan mengagihkan kutipan cukai pelancongan kepada kerajaan negeri itu sebelum akhir suku pertama tahun ini seperti dijanjikan kerajaan pusat.

Katanya, Putrajaya menepati janjinya dan tidak akan bertindak seperti Karim yang mendakwa kerajaan pusat hanya mengagihkan kutipan cukai pelancongan kepada Sabah, tetapi bukannya Sarawak.

Cukai pelancongan dilaksanakan mulai 1 September 2017 dengan pengecualian untuk penduduk tetap dan rakyat Malaysia, manakala pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan dikenakan caj RM10 bagi setiap bilik 1 malam.

Pelaksanaan cukai itu mendapat kritikan pelbagai pihak, terutamanya pemain industri pelancongan dan Persatuan Hotel Malaysia pernah mencadangkan Putrajaya memansuhkan cukai itu yang dilihat menghalang kemajuan industri pelancongan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *