Kemudahan Mikro LNG bantu jana ekonomi Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) ketika gimik pelancaran Fasiliti Mikro LNG, SEC GAS Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu. – NSTP/Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin kemudahan mikro gas asli cecair (LNG) milik majoriti Sabah Energy Corporation (SEC) di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, akan membantu menjana ekonomi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kemudahan Mikro LNG yang pertama di negara ini juga sejajar dengan dasar kerajaan negeri untuk memudahkan pembangunan industri di negeri ini.

“Kemudahan Mikro LNG ini bukan saja membantu menjana ekonomi Sabah termasuk bagi memenuhi keperluan pembangunan industri khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini, tetapi ia juga akan membuka peluang pekerjaan.

“Kita banyak sumber termasuklah gas dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan negeri ini, walaupun kita ada sumber lain seperti kayu, kelapa sawit, pasir dan sektor pelancongan.

“Saya dimaklumkan dalam seminggu lalu bekalan Mikro LNG ini dihantar ke beberapa tempat di negeri ini,” katanya selepas merasmikan kemudahan Mikro LNG di KKIP, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Harun Ismail.

Kemudahan Mikro LNG milik majoriti SEC dengan kapasiti 3.5 tan itu dibina dan dibangunkan untuk keperluan tenaga industri, perusahaan dan kilang minyak, hotel serta pusat peranginan dan kompleks beli belah di Sabah.

SEC Gas Sdn Bhd yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan bekerjasama dengan syarikat China, Zhangjiagang Furui Special Equipment Company Limited, bertindak sebagai pelabur dan penyedia teknologi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata kerajaan juga akan melakukan perubahan dalam penggunaan tanah bagi meningkatkan sektor makanan di negeri ini.

“Kita bukan hanya tertumpu kepada penanaman getah atau kelapa sawit sahaja, tetapi kita akan pelbagaikan tanah luas yang ada di negeri ini untuk dijadikan terminal makanan, khususnya di Keningau dan Tawau,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *