‘Jangan beri duit pada pengemis kanak-kanak’

ORANG ramai diminta supaya tidak memberi wang kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket pengemis di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ini kerana kementeriannya mempunyai pendirian ‘tiada belas ihsan’ terhadap sindiket yang menggunakan kanak-kanak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mengadakan program Bijak Membantu Tidak Tertipu bagi mengelakkan masyarakat daripada ditipu.

“Jika kita lihat, kanak-kanak digunakan untuk mengemis tidak kira di restoran, jalan raya mahu pun di depan rumah ibadat, jangan sesekali beri duit kepada mereka.

“Sebaliknya, segera hubungi talian kasih 15999 dan JKM akan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Ibrahim bertanyakan mengenai tindakan kerajaan untuk membantu membela nasib kanak-kanak gelandangan daripada terbabit dalam sindiket haram di negara ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, orang ramai yang ingin membantu sesebuah rumah kebajikan juga boleh menyemak kesahihan pendaftarannya dengan pihak JKM.

Bagi mengelakkan daripada tertipu, Hannah turut menyarankan orang ramai supaya menyalurkan sumbangan menerusi Yayasan Kemiskinan Negara.

“Jadi, elakkan daripada memberi secara terus kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis kerana ia menyalahi undang-undang dan dalam isu ini, penguatkuasaan menerusi Akta Kanak-kanak Klausa 32 boleh digunakan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di lobi Parlimen, Hannah berkata, sindiket berkenaan akan terus berleluasa selagi orang ramai menghulurkan derma.

Justeru kata beliau, masyarakat perlu berhati-hati dengan NGO atau rumah ibadat yang menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma.

“Kalau kasihan, sindiket akan terus berjalan. Jadi orang awam jangan sokong pihak tidak bertanggungjawab yang mempergunakan kanak-kanak ini,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *