Bina Klinik Kesihatan di Pulau Gaya

AHLI Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, melihat keperluan untuk membina sebuah Klinik Kesihatan di perkampungan atas air Pulau Gaya.

PUTATAN: Kementerian Kesihatan diminta melihat keperluan untuk membina sebuah klinik kesihatan di perkampungan atas air Pulau Gaya di sini bagi memudahkan kira-kira 5,000 penduduk pulau itu mendapatkan rawatan kesihatan.

Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, berkata ketiadaan klinik di pulau itu menyukarkan penduduk kerana terpaksa ke tanah besar di Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan di klinik jika sakit.

“Kita berharap Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pembinaan sebuah klinik kesihatan di perkampungan atas air di Pulau Gaya yang kapasiti penduduknya mencecah kira-kira 5,000 orang.

“Saya yakin pembinaan Klinik Kesihatan Pulau Gaya akan meningkatkan lagi kualiti kesihatan di kawasan ini selain memudahkan promosi kesihatan dilaksanakan secara berterusan di pulau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pulau Gaya adalah sebahagian kawasan Parlimen Putatan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN )Tanjung Aru, namun pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berada dalam perkadaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Awang Husaini berkata, Kementerian Kesihatan juga perlu memberi perhatian kepada keperluan membesarkan dan menaik taraf Klinik Kesihatan Putatan di sini berikutan kemudahan sedia ada sudah tidak mampu menampung kapasiti pesakit.

“Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, saya meminta Kementerian Kesihatan membesarkan Klinik Kesihatan sedia ada di Putatan,” katanya.

Beliau turut memohon lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menampung keperluan rakyat yang belum memiliki rumah selain memindahkan penduduk yang terbabit dengan pelaksanaan projek pembangunan di Putatan.

Katanya, dua projek yang sedang dilaksanakan iaitu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah laluan Putatan-Penampang dan pembesaran Sungai Putatan menyebabkan ramai penduduk terjejas kerana rumah mereka terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan projek berkenaan.

“Beberapa projek besar yang dilaksanakan memberikan kesan kepada perkampungan di sekitar Parlimen Putatan, antaranya projek pembesaran sungai dan Pan Borneo.

“Penduduk kampung yang terjejas terpaksa berpindah. Jadi, kita berharap pembinaan PPR ini dapat diberikan perhatian,” katanya.

Katanya, walaupun sudah ada 1,000 unit PPR dibina di daerah ini, jumlah itu belum mencukupi bagi menampung keperluan penduduk, memandangkan sebahagiannya sudah dihuni penduduk yang berkelayakan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *