Meringkuk lah kau dalam penjara

SEORANG tahanan yang cuba melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Manggatal, Selasa lalu, dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Majistret Mohd Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ibni Anani, 43, mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh supaya dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengusiran selepas selesai menjalani hukuman terbabit.

Mengikut pertuduhan, pendatang asing tanpa izin (PATI) itu didakwa cuba melarikan diri daripada tahanan di PTS pada 4.50 petang, 19 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan cuba melarikan diri bersama empat lagi tahanan dengan merempuh pengawal keselamatan yang sedang bertugas membuka pintu blok untuk memberi makanan.

Bagaimanapun, Ibni gagal meloloskan diri apabila berjaya ditahan semula oleh pengawal keselamatan sejurus kejadian. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *