Curi air: Jabatan Air Sandakan potong dua sambungan haram

TIDAK BERTANGGUNGJAWAB: Kebocoran paip air dikesan di kawasan setinggan bersebelahan Masjid Pangiran Galpam Batu 7 dan Batu 2 Kampung Bakau, Sandakan.

SANDAKAN: Jabatan Air Sandakan mengesan dua sambungan haram dan melakukan tindakan pemotongan berikutan berlakunya kegiatan curi air di sekitar kawasan setinggan bersebelahan Masjid Pangiran Galpam Batu 7 dan Batu 2 Kampung Bakau, di sini pada Sabtu.

Jurutera Air Bahagian Sandakan Ishar Hamka Ismail berkata terdahulu, pihaknya menerima maklumat mengenai berlakunya kegiatan curi air di dua kawasan kampung setinggan berkenaan lalu melakukan Ops Pemantauan Penyambungan Haram.

“Setelah menjalankan siasatan dengan bantuan pihak Salcon Enggineering, kita mendapati paip utama MSCL 150mm dan 250mm mengalami kebocoran, dan pihak penguat kuasa Jabatan Air Sandakan telah menjumpai beberapa sambungan haram di kawasan berdekatan dipercayai disambung ke kawasan setinggan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Operasi yang bermula sekitar jam 11 pagi dan berakhir 4 petang itu telah berjaya mengesan dan melakukan tindakan pemotongan ke atas dua sambungan haram masing-masing yang dilakukan ke atas paip MSCL 150mm dan 250mm Jabatan Air berdekatan kawasan setinggan bersebelahan Masjid Pangiran Galpam Batu 7 dan Batu 2 Kg Bakau,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Ishar berkata pemotongan ke atas sambungan haram berkenaan telah diambil tindakan oleh pihak Jabatan Air dengan bantuan kontraktor yang dilantik.

Katanya, dalam operasi itu juga, pihak Jabatan Air telah merampas beberapa barangan yang digunakan untuk membuat penyambungan haram, antaranya ialah sejumlah polypaip bersaiz 2 inci dan beberapa alatan seperti ‘clamp’.

Pihaknya juga menegaskan agar semua pengguna mematuhi undang-undang sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berdepan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan, yang mana mengikut Seksyen 49 (b), boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun.

“Pihak kita juga memohon kerjasama daripada orang ramai, sekiranya berlaku sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air, segeralah laporkan ke talian hotline Jabatan Air Sandakan di 088-326 888,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *