Sabah dijangka terima lebih banyak hujan susulan peralihan monsun

KOTA KINABALU: Sabah dijangka menerima lebih banyak hujan berikutan peralihan monsun yang bermula 19 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Ambun Dindang, berkata sejak beberapa hari lalu, ada banyak kawasan di negeri ini sudah menerima hujan antara 20 Mac lalu hingga kelmarin.

“Peralihan monsun yang bermula 19 Mac lalu dijangka membawa lebih banyak hujan di negeri ini.

“Stesen Meteorologi di Tawau juga menunjukkan hujan sudah mula diterima daerah itu walaupun belum menyeluruh lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Ambun berkata, negeri ini masih mengalami musim kering kerana kekurangan hujan tetapi ia bukan gelombang panas.

“Sabah belum mencapai tahap kemarau, cuma musim kering dan panas berikutan kekurangan hujan.

“Tiada kawasan mengalami gelombang haba di Sabah, setakat hari ini,” katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony, dilaporkan berkata ada enam loji air dikenal pasti dalam keadaan kritikal di negeri ini.

Loji air di Tawau dan Semporna dalam keadaan kritikal berikutan kurang menerima hujan untuk dibekalkan kepada pengguna.

Beliau dipetik sebagai berkata, kementeriannya memberi jaminan bahawa Jabatan Air akan menghantar bekalan jika keadaan berterusan dan mempertimbangkan kaedah pembenihan awan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *