Kes jenayah di Sabah terkawal

TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, menyampaikan sijil anugerah integriti PDRM kepada Asisten Superintendan (ASP) Daniel Dominic dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. FOTO Norasikin Daineh

LAPAN ahli sindiket penyeludupan bahan membuat bom ikan dikenakan perintah tahanan di Pusat Pemulihan Khas, Bintulu, Sarawak, selama satu tahun bermula 20 Mac lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, perintah tahanan itu dibuat mengikut Seksyen 19A(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Seramai lapan ahli sindiket penyeludupan detonator dan fius bagi membuat bahan letupan bom ikan ditangkap menerusi operasi berasingan oleh cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

“Semua individu terdiri daripada tujuh warga tempatan dan satu lagi pemegang pas IMM13 ditangkap dalam operasi berasingan itu pada 27 Januari hingga 4 Februari lalu di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sehubungan itu, katanya lagi, situasi keselamatan di Sabah masih dalam keadaan terkawal melalui pelbagai operasi yang dijalankan oleh PDRM.

Dalam sidang media itu, Zaini turut berkata, sebanyak 993 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Februari tahun ini berbanding 863 kes pada tahun lalu dan didapati kes jenayah pada tahun ini menunjukkan kenaikan sebanyak 15.06 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jenayah kekerasan bagi tempoh terbabit merekodkan sebanyak 97 kes pada 2018, manakala pada tahun ini sebanyak 92 kes yang mana berlaku penurunan sebanyak lima kes atau 5.15 peratus.

“Bagaimanapun, bagi jenayah harta benda pula berlaku pertambahan sebanyak 135 kes atau 17.62 peratus iaitu sebanyak 901 kes direkodkan pada tahun ini berbanding tahun lalu hanya sebanyak 766 kes,” katanya.

Zaini berkata lagi, dari segi penyelesaian kes, PDRM Sabah telah berjaya menyelesaikan sebanyak 46.83 peratus kes jenayah sepanjang tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

“Ini bermaksud setiap 10 kes jenayah yang direkodkan, sebanyak 4.68 peratus berjaya diselesaikan dan peratusan ini meletakkan Sabah di kedudukan ke lapan dalam penyelesaian kes jenayah di Malaysia.

“Kes jenayah yang menyumbang kepada kenaikan adalah membabitkan jenayah curi dan pecah rumah,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *