Pelajar kolej maut, kereta langgar pembahagi jalan di Tawau

Keadaan kereta mangsa yang rosak selepas kemalangan di Batu 13 Jalan Apas. – Foto Ihsan Pembaca

TAWAU: Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Batu 13 Jalan Apas, berhampiran Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.10 petang itu, Mohammad Shahrul Nizam Husin, 18, yang memandu kereta jenis Honda City milik guru wanita yang turut bersamanya dikatakan dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.

Beliau berkata, kereta mangsa kemudiannya turut berpusing beberapa kali lalu melanggar longkang sebelum menaiki cerun di bahagian bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar daripada kereta sebelum terjatuh ke dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Guru wanita yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Segangan Lahad Datu itu tidak memakai tali pinggang keledar selain tidak memiliki lesen memandu.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Berita Harian

Keadaan kereta mangsa yang rosak selepas kemalangan di Batu 13 Jalan Apas. – Foto Ihsan Pembaca
Keadaan kereta mangsa yang rosak selepas kemalangan di Batu 13 Jalan Apas. – Foto Ihsan Pembaca
Keadaan kereta mangsa yang rosak selepas kemalangan di Batu 13 Jalan Apas. – Foto Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *