Putatan perlu lebih banyak unit PPR

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Datuk Sahari meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan dan memperuntukkan lebih banyak unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah Putatan kerana permintaan yang tinggi terhadap keperluan kediaman untuk rakyat.

Beliau berkata, beberapa projek besar yang telah dilaksanakan telah memberi impak kepada kampung-kampung di kawasan Parlimen Putatan seperti Projek Pelebaran Sungai dan Lebuhraya Pan Borneo.

“Oleh itu, penduduk yang terjejas oleh projek-projek ini harus keluar dari kampung-kampung mereka untuk memberi laluan bagi pembangunan fizikal projek-projek besar yang akan dilaksanakan.

“Sekali lagi, saya meminta kementerian untuk lebih sensitif dalam perkara ini dan melihat permintaan yang tinggi untuk unit PPR yang lebih banyak oleh rakyat di Putatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan terima kasih kepada titah Yang DiPertuan Agong di Parlimen pada Khamis.

Mengenai kemudahan pendidikan di Putatan, Awang Husaini berkata keperluan untuk membina lebih banyak sekolah di kawasan itu adalah sangat kritikal.

“Pada masa ini, saya difahamkan permohonan untuk membina SMK Lok Kawi telah mencapai peringkat akhir proses penilaian dan telah dimasukkan ke dalam Rancangan Pusingan Keempat,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta projek sekolah itu diluluskan dengan segera untuk menangani keperluan kritikal untuk mendapatkan kemudahan pendidikan di Putatan dan dengan itu, kerja-kerja pembinaannya dapat dilaksanakan dengan segera.

Sementara itu, dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, Awang Husaini merayu kepada Kementerian Kesihatan Persekutuan untuk mempertimbangkan dengan menaik taraf Klinik Kesihatan yang ada di Putatan pada masa ini, ia tidak dapat mengekalkan jumlah pesakit yang datang setiap hari ke klinik berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau berkata Kementerian Kesihatan juga perlu mengambil kira keperluan mendesak menyediakan klinik kesihatan di Pulau Gaya yang diperlukan oleh kira-kira 5,000 orang penduduk di kampung-kampung air di pulau itu.

“Sehingga kini, tiada klinik kesihatan yang sedang dibangunkan di pulau itu. Oleh itu, saya percaya dengan mendirikan satu klinik di Pulau Gaya akan meningkatkan kualiti kesihatan penduduk kampung.

“Selain itu, promosi kesihatan juga boleh dilakukan secara langsung kepada penduduk di pulau itu,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *