Bapa Adira meninggal dunia

BAPA penyanyi Adira iaitu Suhaimi Rajiman, 57, meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ dalaman di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, kelmarin.

Adira, 28, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi ketika dihubungi berkata, jenazah selamat tiba di kampung halaman, Kampung Kinandusan, Kundasang, Sabah, pagi hari ini dan selamat dikebumikan jam 11 pagi.

Katanya, arwah bapa dimasukkan ke hospital sejak sebulan lalu akibat kegagalan beberapa organ dalaman dan dia koma.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Selasa iaitu ketika mengadakan persembahan di Johor Bahru. Walaupun bapa tidak sedarkan diri, saya tetap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk melawat.

“Pagi kelmarin saya dapat panggilan bapa sudah tiada. Keluarga ambil keputusan untuk kebumikan jenazah di kampung.

“Alhamdulillah, saya sempat tiba pagi hari ini dan memberikan penghormatan terakhir,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Pujaan Hati itu, meskipun tidak membesar dan mendapat kasih sayang bapanya sejak dilahirkan, dia tidak pernah menyimpan dendam.

Malah, Adira mengakui keputusan untuk mencari bapanya ketika berusia 19 tahun disebabkan rasa rindu selain ingin mengenali siapa bapa kandungnya.

Katanya, selepas keluar daripada Akademi Fantasia musim kelapan dia pergi mencari sendiri bapanya dan mendapat maklumat berada di Johor Bahru bersama keluarga baru.

“Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengannya. Selepas itu, kami saling berhubung.

“Walaupun dari kecil membesar tanpa bapa, tidak pernah terbit rasa marah atau dendam,” katanya.

Sebaliknya katanya, rasa ingin tahu lebih menebal dan disebabkan itu, dia nekad untuk mencari sendiri.

“Malah, bapa pula yang minta maaf kerana meninggalkan saya dan keluarga. Namun, saya beritahu padanya apa yang berlaku usah dikenang,” katanya.

Menurutnya, arwah bapanya sempat datang melawat dan bermalam di rumahnya di Sungai Buloh sebelum dimasukkan ke hospital.

“Ketika bermalam di rumah, banyak yang kami bualkan. Kiranya, satu malam tidak cukup dan puas rasanya untuk kami meluangkan masa bersama.

“Biarpun sekejap, akhirnya saya dapat juga merasai kasih sayang seorang bapa. Ternyata bapa seorang yang kelakar. Saya masih ingin mendengar celotehnya,” katanya.

Adira berkata, bapanya juga banyak menasihatinya dan paling penting dia berpesan supaya kalau boleh tidak menjadi sepertinya serta sentiasa bersama keluarga.

“Sejujurnya, banyak perkara ingin saya buat untuknya tapi tidak kesampaian. Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Menurutnya, arwah bapanya berkahwin tiga kali dengan perkahwinan bersama ibunya dikurniakan lapan anak manakala perkahwinan kedua, dua anak dan yang terakhir tiga anak.

“Alhamdulillah, kesemua adik-beradik ada berkumpul dan memberi penghormatan terakhir pada arwah bapa,” katanya. – Harian Metro

ADIRA (kiri) menyiram air ke pusara bapanya. (Gambar kanan) Kakak Adira, Emma bersama bapa mereka, Suhaimi. FOTO Ihsan Adira

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *