25 Tempat Menarik Di Tawau Yang Mungkin Anda Perlu Tahu

Tawau memang wow!  Tarikan yang menanti di bandar ini sungguh sempurna untuk dilawati bagi sesiapa yang dah lemas dengan hidup di kota.

Alam semula jadi yang  menjanjikan cabaran kepada stamina dan keindahan yang memukau, lokasi-lokasi untuk merehatkan badan dengan panorama mendamaikan, destinasi peninggalan masa lampau dan banyak lagi, Tawau adalah sebuah lokasi percutian yang sangat menarik untuk dilawati bersama keluarga.

Untuk mengetahui dengan lebih terperinci betapa bestnya Tawau di mata kaki travel, teruskan membaca artikel tempat menarik di Tawau ini sehingga ke penghujung.

25. Taman Bukit Tawau

Taman Bukit Tawau
Sumber: Azri Abdul Bahar‎

Terletak berdekatan dengan Bukit Gemok yang merupakan sebuah lagi tarikan di Tawau, Taman Bukit Tawau adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang dapat memberikan kepuasan luar biasa kepada kaki hiking.

Sambil menerokai hutan yang berkeluasan 27,972 hektar ini, anda dapat menyaksikan keindahan flora dan faunanya yang sangat terpelihara. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan semasa berada di sini selain berhiking adalah berkhemah, memerhati burung, bermandi-manda di sungai atau berkelah sambil menikmati pemandangan yang menyegarkan mata.

Nak tahu lebih sebab kenapa anda patut meletakkan Taman Bukit Tawau sebagai destinasi paling penting semasa bercuti di Tawau? Sebab di sinilah terletaknya pokok hutan tropika yang tertinggi di dunia, mata air panas dan air terjun yang indah!

Terletak hanyalah sekitar 20 minit pemanduan dari bandar Tawau, sangatlah rugi kalau tak meluangkan masa untuk ke sini.

Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak – Kanak RM6

Alamat:  Tawau Hills Park, Tawau, Sabah


24. Muzium Koko Teck Guan

Muzium Koko Teck Guan
Sumber: Bestway Tour

Bayangkan betapa heavennya bila dapat menikmati coklat yang segar daripada kilang? Sungguh berbeza nikmatnya.

Kalau ini menjadi salah satu impian anda, datanglah ke Muzium Koko Teck Guan, kerana selain dapat melihat bagaimana coklat dihasilkan di depan mata dan sejarah koko, anda juga boleh mendapatkan minuman coklat yang panas, bar coklat, pop corn koko, popia koko dan bermacam lagi produk berasakan coklat lain secara terus dari kilang!

Jangan cakap kanak-kanak je yang akan excited semasa melawat muzium ni, yang dah dewasa pun rasa macam tak nak balik!

Waktu Lawatan: Slot Bermula Pada Pukul 8.30 am / 10.00 am / 2.00 pm / 3.30 pm

Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM15 | Kanak-Kanak Bawah 5 Tahun Percuma

Alamat: Mile 2, Tanjung Batu Laut, Teck Guan Factory, Tawau

23. Pasar Tanjung Tawau

Pasar Tanjung Tawau
Sumber: aliffsherafgan

Pengumuman untuk yang bercadang nak bershopping puas-puas di Tawau, sila buka langkah anda untuk ke Pasar Tanjung Tawau kerana di sini terdapat 6,000 gerai yang menjual bermacam-macam produk lokal!  Dengan jumlah gerai yang sebegitu banyak, bangunan pasar yang siap dibina pada tahun 1999 ini telah terpilih sebagai pasar tertutup yang terbesar di seantero Malaya.

Apa yang anda nak beli? Sayur? Hasil laut kering? Batik? Peralatan dapur? Buah? Kuih-muih? Dan macam-macam lagilah, mustahil untuk anda kecewa dengan pilihan yang ada. Banyak juga barangan yang didatangkan dari Indonesia diniagakan di sini. Harganya pun, tersangatlah murah. Kualiti makanan segarnya? Sangat fresh!

Anda juga boleh singgah ke pasar ikan yang terletak di belakang Pasar Tanjung ni. Di sini terdapat banyak pilihan makanan segar dengan harga yang berkali ganda lebih murah daripada KL!

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 am – 5.00 pm)

Alamat: Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah


22. Maliau Basin

Maliau Basin Tawau
Sumber: Travelmora

Jiwa kembara anda jauh lebih tinggi daripada orang lain? Anda boleh merangka perancangan untuk ke Maliau Basin yang juga merupakan sebuah kawasan hutan yang sangat terpelihara. Kata orang putih, Maliau Basin adalah “Lost World of Sabah.”

Kawasan yang jarang diteroka ini sebenarnya menyimpan beberapa buah air terjun dengan keindahan yang sungguh mempesonakan.

Jarak antara Tawau dan Maliau Basin adalah 190 km. Anda boleh menggunakan jalan telah berturap yang disediakan dengan menggunakan kereta untuk ke Pagar Keselamatan Maliau Basin. Dari sini, anda perlu menggunakan 4 Wheel Drive untuk menempuh perjalanan yang lebih mencabar sehingga ke Study Centre yang berada dalam jarak 27 km.

Masuk: Hubungi Pihak Yayasan Sabah Terlebih Dahulu

Alamat: Maliau Basin Conservation Area, Sabah


21. Bukit Gemok

Bukit Gemok Tawau
Sumber: De Pedra

Pakai kasut hiking anda dan jom berjungle trekking di Bukit Gemok! Bukit dengan puncak yang berketinggian 428 meter dari paras laut ini merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Gemok yang berkeluasan 445 hektar.

Untuk menuju ke kemuncaknya, agak mencabar kerana anda perlu melalui perjalanan yang berbatuan, menempuh akar pokok yang besar dan seangkatan dengannya. Walaupun mencabar, anda akan sentiasa ditemani dengan pemandangan yang menyegarkan di sekitar.

Dalam sekitar 1 jam pendakian anda akan sampai ke laluan kanopi Titian Selara yang merupakan laluan kanopi terpanjang di Sabah dengan kepanjangan s231 meter.

Dengar pun dah penatkan? Namun kepenatan ini akan hilang sebaik sampai ke puncak bukit yang menyajikan pemandangan sekitar bandar Tawau yang terlampau mempesonakan.

Lokasinya, hanyalah setengah jam pemanduan dari bandar Tawau dengan jarak sekitar 10 km, curilah sedikit masa untuk ke sini untuk peluang menghirup oksigen yang menyegarkan segenap tubuh.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 5.00 pm)

Bayaran Masuk: RM1

Alamat: Jalan Merotai – Tawau, 91000 Tawau, Sabah


20. Balung River Eco Resort

Balung River Eco Resort
Sumber: Balung River Eco Resort

Dianugerahkan sebagai Tarikan Semula Jadi Terbaik pada tahun 2003, Balung River Eco Resort bukanlah satu tarikan yang patut anda tolak tepi semasa bercuti di Tawau.

Resort yang terletak hanyalah 40 minit dari bandar yang sibuk Tawau ini adalah sebuah resort yang menyajikan panorama alam indah walau di mana sahaja pandangan mata dihalakan.

Sebagai penginap di resort ini juga anda dapat merancang pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan seperti memancing, melawat kawasan ladang, bermain indoor games, memerhati burung, campfire, bermandi-manda dan banyak lagi!

Harga: Dari RM105+ Semalaman

Alamat: Mile 33, Apas Balung, Locked Bag No. 30, 91009 Tawau, Sabah


19. Monumen Menara Loceng

Monumen Menara Loceng Tawau
Sumber: Pejabat Ahli Parlimen Tawau

Nampak macam pondok biasa, tapi jangan main-main, Monumen Menara Loceng ini sebenarnya adalah struktur yang paling bersejarah di Tawau!

Monumen ini telah dibina oleh pihak Jepun pada tahun 1921 oleh tawanan perang dengan dana yang diberikan oleh ahli perniagaan Jepun. Kalau dikira-kira, usianya telah hampir mencecah 100 tahun.

Walau bagaimana pun, janganlah anda tercari-cari di mana letaknya loceng Monumen Menara “Loceng” ini kerana loceng ini telah hilang secara misteri.

Alamat: Hadapan Pejabat Pos 2020, Tawau


18. Tugu Peringatan Tentera Jepun

Tugu Peringatan Tentera Jepun
Sumber: Cephoto / CC By 3.0

Tahu tak bahawa pada sekitar tahun 1900 dulu Tawau pernah menjadi tempat penempatan ramai orang Jepun?  Ketika Perang Dunia Ke-2, kawasan yang sama sebagai penempatan orang Jepun seterusnya dijadikan tempat pengkebumian mereka.

Tapak perkuburan yang sama ini kini telah diletakkan Tugu Peringatan Tentera Jepun. Kawasan ini sering dilawati oleh pelancong Jepun yang memiliki pertalian kekeluargaan dengan mereka yang terkubur di sini.

Alamat: Tugu Peringatan Tentera Jepun, Jalan Tanjung Batu, 91000 Tawau, Sabah


17. Tugu Peringatan Kalabakan

Tugu Peringatan Kalabakan
Sumber: Ram Lee

Dibina pada tahun 1969, Tugu Peringatan Kalabakan adalah sebuah monumen yang telah didirikan untuk memperingati pemergian 11 orang pejuang negara yang telah terbunuh ketika peristiwa konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963.

Setelah melawat Tugu Peringatan Kalabakan, anda boleh juga berjalan di kawasan sekitar kampung yang tertua di Kalabakan yang bernama kampung ‘Liasau’ untuk melihat tapak arkeologi yang ada di sini.

Alamat: Tugu Peringatan Kalabakan, Tawau, Sabah


16. Tawau Mural Art

Tawau Mural Art Image
Sumber: Myra Abd Latip

Street Art bukan sahaja ada di Penang, di Tawau juga terdapat hasil karya jalanan yang pro pada dinding bangunan, dan ini boleh anda temui sekiranya berjalan-jalan di sekitar Bangunan Majlis Perbandaran Tawau.

Tawau Mural Art yang dapat anda lihat di sini adalah dalam saiz gergasi meliputi 5 tingkat rumah kedai dengan tulisan ‘TAWAU.’

Tercari-cari spot bergambar terbaik untuk menjadi bukti anda pernah ke Tawau? Nah, ini dia lokasinya!

Alamat: Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah (Bersebelahan HSBC Bank Tawau)


15. Air Terjun Bukit Gelas

Air Terjun Bukit Gelas
Sumber: kido_iwnl

Air Terjun Bukit Gelas adalah sebuah air terjun yang terletak di dalam Taman Bukit Tawau. Untuk sampai ke dalam kawasan khazanah alam yang indah ini, anda perlu berjalan kaki sekitar 2.5 km atau 1 jam dari HQ Taman Bukit Tawau.

Setibanya di kawasan air terjun, anda boleh berkelah atau bermandi-manda di kolam renang semula jadi yang terbentuk daripada pancuran air terjun ini.

Bayaran Masuk: Dewasa RM3 | Kanak-Kanak RM2

Alamat: Air Terjun Bukit Gelas, Taman Bukit Tawau


14. Columnar Basalt

Columnar Basalt Tawau
Sumber: Raouf Ahmad

Peliknya nama? Apa tu Columnar Basalt? Macam nama planet je? Kalau anda nak tahu Columnar Basalt adalah nama fenomena semula jadi yang dapat dilihat terjadi pada batuan-batuan yang terdapat di sekitar kawasan sungai di sini.

Unik dan mustahil untuk ditemui di tempat lain di sekitar Malaysia, tarikan yang juga digelar Batu Bersusun ini terjadi kerana penyejukan aluran magma setelah letusan gunung berapi yang terjadi pada sekitar 26 ribu tahun yang lampau.

Sambil memancing atau berenang di sungai ini, aktiviti wajib lain yang patut anda lakukan adalah bergambar dengan sepuas hati. Bukan selalu dapat tengok pemandangan yang sepelik ini kan?

Alamat: Columnar Basalt Balung Cocos (Sungai Giram), 91000 Tawau, Sabah


13. Taman Rekreasi Air Panas Tawau

Taman Rekreasi Air Panas Tawau
Sumber: 王诗雯

Lenguh badan lepas dah puas berjalan di macam-macam tarikan best yang ada sekitar Tawau ni? Anda patut singgah ke Taman Rekreasi Air Panas Tawau untuk berendam di dalam kolam air panasnya bagi melegakan segala sendi dan otot badan.

Di sini telah tersedia beberapa buah kolam air panas dengan tahap kepanasan yang berbeza dari 30 ke 60 darjah celsius.

Sambil berendam badan di dalam air yang hangat, anda boleh menikmati oksigen segar daripada hutan kecil di sekitar yang kaya dengan tumbuhan tropika dan pelbagai jenis pokok bunga yang sedap dipandang.

Nak beraktiviti dulu sebelum berendam? Trek jogging serta lebih daripada 20 pondok rehat turut disediakan di sini.

Waktu Operasi: 8.00 am – 5.00 pm

Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5

Alamat:  Taman Rekreasi Air Panas Tawau, 91000 Tawau, Sabah


12. Air Terjun Teck Guan

Air Terjun Teck Guan
Sumber: Ilovesabah

Terletak di Bukit Quinn, Air Terjun Teck Guan adalah sebuah  tarikan alam dengan keindahan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Memang banyak air terjun dekat sekitar Tawau ni, tapi Air Terjun Teck Guan agak unik daripada yang lain. Sebabnya, jumlah air yang melalui air terjun ini sebenarnya dikawal oleh pekerja ladang di sini. Kalau tadahan air atau empangan dibuka, air yang lalu di kawasan air terjun ni akan banyak. Kalau empangan tak dibuka atau tiba musim kemarau, air terjun akan menjadi kecil.

Jangan lepaskan peluang untuk bermandi-manda di sini, airnya sangat sejuk dan menyegarkan.

Alamat: Air Terjun Teck Guan, Bukit Quinn, Tawau


11. Sankina Hotsping Park

Sankina Hotsping Park
Sumber: Jasmin Yang

Nak merasa berendam dalam kawasan air panas lain pula? Anda boleh singgah ke Sankina Hotsping Park.

Apa salahnya berendam-rendam badan dekat banyak kolam air panas kan, bagus untuk kesihatan tau! Mana tahu, balik je dari Tawau anda rasa semakin muda? Lagi syok nak merancang banyak trip percutian lain.

Yang bestnya, kolam air panas di sini tidak begitu dalam menjadikan ia selamat untuk kanak-kanak.

Selain kolam air panas, kemudahan lain yang disediakan adalah tempat permainan kanak-kanak, restoran, tempat persalinan dan lain-lain lagi.

Waktu Operasi: Khamis – Selasa (10.00 am – 10.00 pm) | Rabu (Tutup)

Bayaran Masuk: Dewasa RM35 | Kanak-Kanak RM25

Alamat: Sankina Hotsping Park, Jalan Hotspring, 91000 Tawau


10. Rumah Api Tinagat

Rumah Api Tinagat
Sumber: Menarik Di Tawau

Dibina pada tahun 1916, Rumah Api Tinagat adalah sebuah struktur klasik yang masih digunakan sehinggalah tahun 2007 untuk menjadi panduan kapal-kapal yang ingin berlabuh di Tawau.

Rumah api berketinggian 9 meter ini telah dibina oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Birmingham, England iaitu Chance Brothers and Co. Nak melihat dengan dekat peninggalan klasik ni? Datanglah ke Sungai Kinabutan Besar.

Alamat: Sungai Kinabutan Besar, Tawau


9. Gunung Berapi Bombalai

Gunung Berapi Bombalai
Sumber: Amir Syafiq‎

Eh! Biar betul di Malaysia ada gunung berapi? Ya, dan anda boleh menemuinya di Tawau. Di daerah ini terdapat sebuah gunung yang berketinggian 530 meter dari paras laut yang diberikan nama sebagai Gunung Berapi Bombalai.

Terlampau banyak stamina semasa bercuti? Jangan lepaskan peluang untuk mendaki sehingga ke puncak gunung ini sebab dari sini anda dapat menikmati pemandangan yang akan terbawa-bawa ke mimpi sekitar bandar Tawau dan Lautan Sulawesi.

Alamat: Gunung Berapi Bombalai, Tawau


8. Pasar Minggu Takada

Pasar Minggu Takada
Sumber: Suhaimi Sidek

Terletak di Pertama Commercial Complex yang juga dipanggil Takada, Pasar Minggu Takada adalah salah satu tempat bershopping barangan tempatan yang paling happening di Tawau.

Antara barangan yang dijual di pasar yang dibuka pada setiap hari Ahad ini adalah pakaian, pokok-pokok bunga, hasil laut kering, makanan basah, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan bundle dan bermacam-macam lagilah!

Harga? Jangan risau, tersangatlah murah! Sedar tak sedar, dah penuh tangan sekali pergi.

Waktu Operasi: Setiap Hari Ahad Dibuka Seawal 6.00 Pagi Hingga Tengahari

Alamat: Perkarangan Pertama Commercial Complex (Takada), Jalan Apas, Tawau, Sabah


7. Masjid Besar Tawau

Masjid Besar Tawau Image
Sumber: membakut.net

Terletak di sebelah lautan, Masjid Besar Tawau adalah sebuah masjid indah yang terbesar di negeri Sabah dengan kemampuan untuk menampung sehingga 17,000 orang jemaah pada satu-satu masa.

Memiliki 2 tingkat, tingkat pertama merupakan ruang solat lelaki dan tingkat ke 2 pula untuk jemaah perempuan. Kos yang dikeluarkan untuk membina masjid yang besar ini adalah sebanyak RM31.5 juta. Setelah siap dibina pada tahun 2002, masjid ini mula dirasmikan oleh YDPA pad

ketika itu, Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 2004.

Alamat: Sabindo Square, 91000 Tawau, Sabah


6. Sri Titingan Seafood & Steamboat @ Tawau

Sri Titingan Seafood & Steamboat @ Tawau
Sumber: Sri Titingan Seafood

Perkara yang wajib dilakukan semasa bercuti di Tawau adalah menikmati makanan laut yang ditawarkan di sini. Gerenti fresh tanpa perlu keluarkan belanja yang besar! Salah satu kedai makan yang paling best untuk anda cuba di Tawau ini adalah Sri Titingan Seafood & Steamboat.

Antara masakan yang anda patut order kalau singgah ke sini adalah sup ketamnya, masakan 3 rasa atau asam pedasnya, memang terbaik!

Alamat: 548, Jln Bantu, Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah


5. Indo Cafe Tawau

Indo Cafe Tawau
Sumber: Tamrin Jamil

Nak tahu dekat mana pisang goreng cheese termahsyur di Tawau? Inilah lokasinya! Di Indo Cafe Tawau anda dapat menikmati hidangan pisang cheese yang paling best pernah dinikmati dalam hidup. Bukan itu sahaja, sago mangganya adalah salah satu menu yang wajib dicuba.

Menu lain yang turut ditawarkan di sini adalah sago avocado, nasi lalap, ubi manis goreng dan banyak lagi masakan Indonesia yang lain.

Alamat: 542, Jln Bantu, Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah


4. Bukit Tanjung Batu Tengah / Middle Hill

bukit tanjung batu tawau
Sumber: Muliyadi Guliling

Bukit Tanjung Batu Tengah ataupun Middle Hill adalah sebuah lagi tempat menarik di Tawau dengan kawasan puncak yang menghidangkan panorama indah. Namun, bezanya dengan bukit-bukit yang lain adalah anda tak memerlukan stamina yang mantap untuk menuju ke kawasan puncaknya, pendakiannya agak landai dan mudah dilalui.

Setelah sampai ke kawasan puncak, anda dapat menikmati pemandangan sekitar kawasan perkampungan Tanjung Batu Darat dan lautan, tunggulah sehingga matahari terbenam untuk pemandangan malamnya yang dihiasi dengan cahaya lampu. Sangat mengasyikkan!

Alamat: Bukit Tanjung Batu Tengah, Kampung Tanjung Batu, Tawau (Waze Sekolah Agama Al-Falaq)


3. Shan-Shui Golf and Country Club

Shan Shui Golf and Country Club
Sumber: Shan-Shui Golf and Country Club

Bukan selalu dapat bercuti, alang-alang dah bercuti tu, apa kata berbelanja sikit untuk menikmati keindahan di Shan-Shui Golf and Country Club. Dikelilingi oleh hutan hijau dengan aliran sungai yang mengalir tenang, kedamaian yang dapat dirasakan sambil bermain golf di sini sukar untuk dilupakan.

Bukan itu sahaja, padang golf Shan-Shui juga sebenarnya pernah terpilih sebagai padang golf yang terbaik di Asia dalam majalah Asian Golf Monthly pada tahun suatu ketika dulu.

Selain padang golf, di sini juga terdapat kemudahan kolam renang, jakuzi, sauna dan lain-lain lagi.

Alamat: Mile 9, Jalan Paya, Sabah, 91008 Tawau


2. Pantai Inderasabah

Pantai Inderasabah Tawau
Sumber: Ejan Infection

Terletak di dalam lokasi yang agak terpencil di Kampung Inderasabah, Pantai Inderasabah adalah sebuah kawasan pantai yang dapat membuat anda jatuh cinta dengan hanya sekali pandang.

Kalau nak ke sini, jangan lupa bawa sekali joran untuk memancing sebab kawasan pantai ni juga agak terkenal dalam kalangan kaki pancing. Mestilah sebab banyak ikan kan?

Apa salahnya mencuba nasib, kalau dapat tangkap, bolehlah terus berbbq di tepi pantai ni. Sambil menikmati angin laut, makan pula hasil laut yang fresh, ini boleh jadi percutian paling best dalam hidup anda.

Alamat: Pantai Inderasabah, Kampung Inderasabah, Tawau


1. Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak

Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak
Sumber: Dalian Rahman

Tarikan yang terakhir sekali ini, Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak berkedudukan agak jauh dari bandar Tawau, dengan perjalanan dalam sekitar 1 jam 40 minit. Kalau anda tak kisah untuk bergerak jauh sikit dari Tawau, jangan tinggalkan tapak arkeologi ni dari bucket list semasa bercuti.

Destinasi ini terlalu legendary untuk dihiraukan. Info menarik tentang tapak ini adalah kerana ianya pernah menjadi tapak pembuatan tembikar yang terbesar di Asia Tenggara pada beribu tahun yang lampau! Semasa dikaji, berpuluh ribu tembikar tanah telah ditemui.

Selain melawat muzium yang terdapat di lokasi ini, anda juga boleh mendaki sehingga ke puncak Bukit Tengkorak untuk menikmati pemandangan perairan sekitar Pulau Sipadan dari puncak berketinggian 500 kaki.

Jarak Dari Tawau: 109 KM / 1 Jam 40 Minit

Alamat: Bukit Tengkorak Archaeological Heritage Site, Semporna, Sabah


Macam mana? Padu juga panahan cinta bandar Tawau ni kan? Flora dan faunanya terpelihara dengan sempurna, kawasan air terjun dan sungainya menjanjikan pemandangan yang membuai jiwa. Sejarahnya? Begitu banyak sekali tempat menarik di Tawau untuk disingkap.

Ternyata Tawau adalah sebuah destinasi percutian yang menarik untuk dilawati. Sebelum ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mendapatkan penginapan yang terbaik yang ada di Tawau ni.

Selamat bercuti ke Tawau!

Kredit : MaiSinggah

Bangunan Masjlis Perbandaran Tawau yang terletak di tengah-tengah bandar Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *