Tokan syabu putih mata

Dadah jenis syabu sebanyak 5.24 gram yang dirampas dari seorang lelaki,33 (gambar kanan), dipercayai tokan, dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ranggum, Apin-Apin, Keningau, Isnin lalu. – Foto ihsan Polis

KENINGAU: Seorang tokan dadah berputih mata apabila 32 bungkusan kecil syabu dalam simpanannya dirampas polis dalam Ops Tapis di hadapan sebuah kedai alat ganti kereta di daerah ini.

Dalam operasi jam 11.30 pagi kelmarin, lelaki berusia 52 tahun itu turut ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim ketika dihubungi hari ini, berkata suspek yang menaiki Proton Wira ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Keningau.

“Suspek yang memandu diminta keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan oleh anggota polis. Pemeriksaan pada beg pinggang dipakainya menemui satu bekas mengandungi 32 paket plastik lut sinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat anggaran 5.74 gram,” katanya.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan dipercayai memiliki syabu bernilai RM861 itu untuk pasaran tempatan.

“Suspek mengaku memiliki dadah itu yang dipercayai bekalan untuk pasaran tempatan. Dia juga mengaku terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 2015, mengambil dadah berkenaan seminggu sekali dan kali terakhir pada 19 Mac lalu,” katanya.

Dalam operasi berasingan, Nyuk Kim berkata, polis turut menahan seorang lagi pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan bulatan Kampung Keningau pada Isnin lalu.

“Lelaki berusia 32 tahun itu sedang memandu pacuan empat roda, ditahan pada jam 7.45 pagi. Pemeriksaan menemui syabu seberat 5.05 gram dengan nilai pasaran RM757.50 bersamanya,” katanya.

Katanya lagi, suspek juga didapati positif dadah dan mengaku mengambil syabu seminggu sekali sejak 2012 dengan kali terakhir pada 18 Mac lalu.

Sehubungan itu, Nyuk Kim berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *