Lebih ramai pelancong domestik bakal datang

KUALA LUMPUR: Usaha promosi peserta pameran dari Sabah pada Pesta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2019 yang baru berakhir, terbayar dengan jualan yang memberangsangkan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata Sabah Tourism Pavilion menjana pendapatan daripada jualan kepada pelanggan selama tiga hari, terutamanya rakyat Malaysia dari Semenanjung.

“Kudos kepada 30 peserta pameran di bawah naungan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) kerana secara kolektif mencatatkan jualan sebanyak RM1,222,581.47.

Ini menunjukkan Sabah benar-benar merupakan ‘Destinasi Kegemaran Malaysia’ pada edisi ke-47 Pesta Matta yang mencatatkan 113,685 pengunjung, yang merupakan rekod tertinggi.

“Saya ingin menyatakan pencapaian ini adalah hasil kerja keras yang dilakukan oleh Presiden Matta (Tan Tan Liang) dan Pengerusi STB, Ken Pan Ying On.

Tahniah! Sabah akan menyaksikan pertumbuhan pelancongan domestik tahun ini,” katanya. 

Para peserta pameran terdiri daripada 25 pengusaha pelancongan, dua pengusaha selam, dua hotel dan sebuah persatuan hotel.

Lima yang mencapai jualan tertinggi ialah Borneo Holidays, Borneo Trails, Mizume, Borneo Land Adventure dan Amazing Borneo.Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, melancarkan acara itu bagi pihak Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kuala Lumpur.

Pesta itu berakhir pada Ahad lepas.Beliau berkata Sabah berada di kedudukan 5 teratas dalam Negeri Paling Dikunjungi di Malaysia dengan rekod 3.879 juta ketibaan pada 2018.

“Malah, Kota Kinabalu menduduki tempat ke-9 dalam Destinasi Teratas untuk Pelancong Asia semasa Tahun Baru Lunar baru-baru ini,” katanya. 

Menurut Jabatan Perangkaan, Sabah menduduki tempat ke-4 dalam negeri dengan pengunjung domestik tertinggi dengan 17.8 juta ketibaan pengunjung domestik pada 2017.

Sabah merekodkan peningkatan 2.8 peratus dalam ketibaan pelancong domestik pada 2018 dengan 2.518 juta pengunjung berbanding 2.449 juta pada tahun sebelumnya, yang bermakna kira-kira 209,000 pelawat datang ke Sabah setiap bulan. 

Terdapat 444 penerbangan yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan ke Sabah dengan kapasiti tempat duduk sekitar 75,000 setiap minggu.

Sementara itu, Tan menegaskan bahawa tambang penerbangan untuk perjalanan di Malaysia, terutamanya dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak, adalah satu kelemahan buat pelancongan domestik berbanding dengan tambang penerbangan ke destinasi lain di luar negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Contohnya, harga tiket perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu secara purata adalah dari RM300 hingga RM500 untuk tempoh Mac 2019 manakala perjalanan satu hala dari Kuala Lumpur ke Jakarta secara purata antara RM170 hingga RM300 dalam tempoh yang sama.

“Begitu juga dengan harga tiket perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching secara purata kos dari RM260 hingga RM700 untuk tempoh Mac 2019 manakala tiket perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke Bangkok secara purata antara RM170 hingga RM300 dalam tempoh yang sama,” katanya sambil menambah pelancong Malaysia yang sedar dengan kos itu akan memilih untuk pergi ke destinasi percutian antarabangsa.

Tan menggesa kerajaan dan pengusaha syarikat penerbangan agar mengkaji perkara ini untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong di negara ini dan membawa industri pelancongan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. – Harian Ekspres

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *