Kerajaan Warisan Sabah Teruskan Sumbangan Kepada Agama Lain

Ewon Benedick menyerahkan cek sumbangan kepada wakil penerima daripada Gereja SIB.

KOTA KINABALU: Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak pernah mengabaikan kebajikan mana-mana agama atau kaum di negeri ini terutama dalam soal menyampaikan bantuan serta peruntukan.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sendiri telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada beberapa tokong di pantai timur sebagai bukti keprihatinan beliau.

Hari ini, penyerahan sumbangan itu diteruskan apabila Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sebanyak RM20,000 daripada peruntukan khas Touchpoints Menteri kepada Persatuan Kebudayaan Lundayeh dan dua Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di Sipitang.

Sumbangan itu masing-masing RM10,000 untuk Persatuan Kebudayaan Lundayeh dan RM10,000 lagi untuk Gereja SIB bagi keperluan aktiviti tadika gereja mereka.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan persatuan dan pihak gereja dalam melaksanakan aktiviti dan pembangunan pendidikan,” katanya ketika menyampaikan sumbangan itu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyampaikan sumbangan itu semasa Majlis Makan Malam Bersama Ahli-Ahli persatuan Lundayeh Sabah dan beberapa pemimpin gereja Sipitang, di Pusat Kebudayaan Lundayeh Sipitang, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Ewon turut memberi penjelasan mengenai beberapa perkara yang dikemukakan wakil penduduk kampung antaranya berkaitan bantuan usahawan desa dan pembangunan ekonomi kampung. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *