Hujan di Sabah tanda berakhir musim monsun timur laut

SANDAKAN: Hujan di beberapa tempat di Sabah sejak tiga hari lalu menandakan berakhirnya musim monsun timur laut yang bermula sejak Oktober tahun lalu.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud, berkata peralihan monsun mulai 19 Mac lalu menyumbang hujan di negeri ini dan meredakan cuaca panas pada masa sekarang.

Katanya, kawasan serantau negara termasuk negeri ini dijangka menerima tiupan angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan lemah, sesuai untuk pembentukan awan ribut petir dalam tempoh fasa peralihan sehingga pertengahan Mei depan.

“Pantai barat Sabah dijangka mengalami cuaca ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat terutama waktu petang dan awal malam.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azemi berkata, sehubungan itu, Jabatan Meteorologi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama apabila berlaku petir.

Katanya, orang ramai perlu mengelak berada di luar rumah atau di bawah pokok apabila berlaku petir untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, keadaan jerebu di negeri ini semakin baik dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri mencatat tahap baik dan sederhana setakat jam 11 pagi hari ini.

Berdasarkan bacaan terkini di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga jam 11 pagi tadi, bacaan IPU bagi Kota Kinabalu dan Kimanis masing-masing pada tahap 54 dan 67 iaitu sederhana.

Tiga lagi daerah iaitu Tawau, Sandakan dan Keningau mencatatkan kualiti udara yang baik dengan bacaan 29, 26 dan 44.

Minggu lalu, bacaan IPU di Kimanis dan Kota Kinabalu mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu melebihi 100. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *