Masalah air penduduk Bandar Sri Indah sejak 10 tahun belum nampak penyelesaian

Pintu gerbang Taman Sri Indah, Tawau

TAWAU, 21 Mac – Lebih 8,000 pengguna di Bandar Sri Indah (BSI) di sini memang sudah biasa mengalami masalah bekalan air yang sering terputus dari semasa ke semasa sejak kira-kira 10 tahun lepas, namun sehingga kini bukan sahaja jalan penyelesaian tidak kelihatan, malah masalah itu nampak bertambah buruk apabila sudah lapan atau 10 hari bekalan air ke kawasan itu terputus.

Pengerusi Rukun Tetangga BSI Fasa Satu, Yusri Yumasa berkata bertahun lama penduduk BSI cukup bersabar dengan permasalahan air yang sering dialami, namun masalah terputus bekalan sehingga mencecah 10 hari adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Cuaca panas dan kering tidak wajar dijadikan sebagai alasan, sepatutnya pihak berwajib mempunyai pelan kecemasan,(misalnya) sudah ada ramalan cuaca kawasan ini (kering) kenapa tidak pemaju atau Jabatan Air bersiap sedia menyelesaikan masalah ini,  jangan tunggu penduduk sudah marah baru mahu hantar air,” katanya kepada pemberita.

Beliau adalah antara 50 penduduk BSI yang hadir ke Jabatan Air Tawau hari ini untuk menyerahkan memorandum yang ditandatangani penduduk BSI berhubung krisis air itu, yang diserahkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Osman Jamal kepada Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen untuk dimajukan kepada Jabatan Air Negeri Sabah.

Dalam pada itu, hari ini Yusri turut berharap agar air daripada Loji Rawatan Air Balung dapat disalurkan ke BSI memandangkan sudah 10 hari BSI terputus bekalan air.

“Kalau (masih) tiada bekalan air dalam tempoh 24 jam, kami akan buat demo lagi dengan mengikut peraturan yang betul, kami pun tidak mahu menyusahkan sesiapa, kami hanya mahu keperluan asas kami terbela,” katanya.

Seorang lagi penduduk BSI yang ditemui, Gan Chee Chan turut meminta pihak berwajib mencari inisiatif dan menyelesaikan segera masalah air di kawasna taman itu yang semakin kritikal.

Memorandum itu antara lain menuntut agar pembinaan Empangan Tawau di Gudang Empat disegerakan, sebagai salah satu jalan penyelesaian kemelut air di Tawau.

Sementara itu, Osman berkata selepas perbincangan bersama Jabatan Air Tawau, antara keputusan yang diambil bagi menyelesaikan masalah air di BSI adalah, Loji Rawatan Air Balung akan digunakan bagi membekalkan air kepada BSI.

“Ketika ini bekalan air BSI hanya diperoleh daripada Loji Rawatan Air Utara dan kita berharap dengan dua saluran (termasuk loji Balung) ini dalam tempoh hari ini atau esok BSI akan mula mendapat air bersih,” katanya dan menambah selain itu bekalan air daripada Loji Rawatan Air Cinta Mata dapat juga disalurkan sementara kepada BSI.

Berhubung projek pembangunan perumahan baharu di BSI, Osman berkata secara peribadi beliau tidak mahu ada lagi kelulusan untuk pembinaan perumahan di kawasan Dewan Undangan negeri Balung, termasuk di BSI, sehingga masalah air selesai.

Sementara itu Asabri berkata permohonan bekalan air untuk projek pembangunan dalam BSI yang merangkumi 1,000 unit rumah Apartment South Ville dan 800 unit rumah di Fasa 5H, belum diluluskan sehingga masalah air di BSI dapat diselesaikan.

“Saya masih menimbangkan (KIV) kelulusannya, dan saya ada maklumkan perkara ini pada minggu lepas di Majlis Perbandaran Tawau bahawa jabatan kami tegas dengan pendirian tidak akan membekalkan air kepada kawasan Apartment, Fasa 5H dan Fasa 5I buat masa ini,” tegasnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *