Kementerian Luar sahkan kematian Haziq

MUHAMMAD Haziq antara 50 mangsa yang kehilangan nyawa dalam insiden tembakan di Christchurch, minggu lalu.

KEMENTERIAN Luar mengesahkan, rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, adalah antara 50 mangsa yang kehilangan nyawa dalam insiden tembakan di Christchurch, minggu lalu.

Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia akan memberikan bantuan kepada keluarga bagi proses pengebumian berkenaan.

“Allahyarham adalah anak kepada Mohd Tarmizi yang cedera semasa serangan berlaku. Turut cedera yang lain ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Luar memaklumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga akan berlepas ke Christchurch untuk mewakili kerajaan bagi memberikan sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas susulan tragedi ini.

Katanya, kementerian juga meminta semua pihak media dan awam untuk menghormati perasaan ahli keluarga yang berdepan tempoh sukar ini.

Harian Metro melaporkan, Mohd Haziq yang hilang sejak kejadian Jumaat lalu, disahkan meninggal dunia.

Pengesahan itu dilaporkan Exco Jawatankuasa Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Pooh, 11.20 malam ini.

Beliau dipetik berkata, kerajaan New Zealand cukup teliti dan mematuhi prosedur berkaitan akta peribadi, tambahan pula banyak kematian berlaku dalam kes berkenaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *