ADUN Balung minta projek empangan Tawau diteruskan

Osman Jamal mewakili penduduk Bandar Sri Indah (BSI) menyerahkan memorandum krisis air BSI kepada Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen untuk Jabatan Air Negeri Sabah – FOTO BERNAMA

TAWAU, 21 Mac – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah meminta kerajaan negeri itu meneruskan projek Empangan Tawau di Gudang Empat dekat sini  yang telah tertangguh bagi manfaat masyarakat terutama dalam menangani isu air.

ADUN Balung  Datuk Osman Jamal berkata dengan pelaksanaan projek itu sahaja akan dapat mengatasi kemelut air di daerah ini.

“Cara ini sahaja kita dapat menguruskan pembekalan air (takungan air mentah dilepaskan ke loji).

“Sekarang ini, kalau hujan lebat, kita terpaksa hentikan operasi laji, kalau kemarau,  air yang dikeluarkan daripada loji itu pula berkurangan dan dengan adanya empangan ini maka air yang  dibekalkan kepada loji akan  berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili penduduk Bandar Sri Indah (BSI) menyerahkan memorandum krisis air BSI kepada Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen untuk Jabatan Air Negeri Sabah di sini, hari ini.

Memorandum ditandatangani penduduk BSI itu antara lain menuntut kerajaan negeri dapat meneruskan projek empangan air tawau bukan setakat menyelesaikan masalah air di BSI malahan seluruh Tawau.

Sebelum ini, sebuah empangan pelbagai fungsi dianggarkan bernilai RM450 juta akan dibina di Jalan Gudang 4 Tawau yang mampu mengatasi masalah banjir selain kekurangan bekalan air mentah.

Empangan yang berfungsi sebagai takungan dan simpanan air mentah itu dijangka siap menjelang 2021 bagaimanapun projek itu ditangguhkan.

Sementara itu, Osman berkata projek empangan itu akan dibawa ke persidangan DUN untuk dibentangkan selain beberapa projek penting yang perlu dilaksanakan dalam kawasan DUN Balung.

“Kerajaan negeri ada peruntukan daripada persekutuan untuk melaksanakan projek demi rakyat,” katanya lagi.

Berkaitan masalah di BSI, katanya pemaju BSI Hap Seng Properties Development Sdn Bhd sedang mengkaji keperluan membina loji air untuk BSI bagi menangani masalah air yang berlarutan sehingga 10 tahun.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *