10,000 Kemuka Permohonan Sertai BERSATU Di Sabah

Dasim (tengah) bersama pengerusi penaja Bersatu dari Zon lima Sandakan yang baharu dilantik. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu

SANDAKAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah sah mengembangkan sayap ke Sabah kini mula menerima permohonan ramai untuk menyertai ahli parti tersebut.

Pengerusi Penaja Perhubungan Bersatu Sabah, Datuk Dasim Ricky berkata terbaharu parti itu menerima kira-kira 10,000 permohonan dari kawasan Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Libaran dan Kinabatangan.

“Sambutan untuk menjadi ahli Bersatu sejak mutakhir ini begitu menggalakkan apabila hari ini sahaja kita menerima sebanyak 10,000 borang permohonan menjadi ahli dari kawasan zon lima,” katanya ketika ditemui selepas menerima borang kemasukan ahli Bersatu di sini hari ini.

Menurut beliau sambutan itu memberikan gambaran positif rakyat di negeri ini yang menerima baik kehadiran Bersatu ke Sabah.

Dasim (dua dari kanan) menerima borang kemasukan sebagai ahli Bersatu daripada para wakil Zon Lima Sandakan. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu

Pelancaran rasmi kemasukan Bersatu ke Sabah dijangka akan diadakan pada 6 April depan dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Pada majlis itu juga, selain Dasim seramai empat lagi individu dilantik sebagai ketua pendaftar kemasukan ahli dan mereka terdiri daripada Jaini Atang (Beluran), Estihan Adilah (Batu Sapi), Aladin Mustamin (Sandakan) dan Abd Samad bagi kawasan Libaran.

Menurut Dasim, majoriti ahli yang memohon menjadi ahli parti adalah mereka yang sebelum ini yang masih belum menyertai mana-mana parti politik selain bekas ahli Barisan Nasional (BN).

“Mereka memberikan keyakinan bahawa Bersatu mampu menjadi wadah perjuangan bagi menentukan masa depan negeri dan rakyat  terutama daripada aspek pembangunan tambahan pula kedudukan Bersatu sebagai komponen Pakatan Harapan yang menerajui pentadbiran negara,” katanya.

Diajukan soalan mengenai kedudukan Pengerusi Perhubungan Bersatu di Sabah, Dasim berkata perkara itu akan ditentukan oleh Dr Mahathir.

“Kita hanya bekerja dan berkhidmat untuk memperkukuhkan Bersatu di Sabah, soal jawatan adalah budi bicara Tun Mahathir sebagai Pengerusi dan ahli jawatankuasa tertinggi parti,” jelasnya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *