Pembinaan dua empangan baharu di Sabah perlu dipercepatkan – Mohd Shafie

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 19 Mac – Pembinaan dua projek empangan baharu di Sabah perlu dipercepatkan bagi memastikan bekalan air di negeri ini khususnya di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya mencukupi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihaknya telah meminta kementerian yang bertanggungjawab agar mempercepatkan pembinaan projek empangan di Papar dan Ulu Padas.

“Pembinaan empangan ini perlu dipercepatkan demi masa depan…penduduk di kawasan Kota Kinabalu semakin bertambah dan penduduk perlu air yang mencukupi.

“Bila empangan itu siap, banyak lagi manfaat yang kita dapat seperti pembinaan jalan raya dan bekalan elektirk yang mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Jalan Nountun Bukit Padang di sini, hari ini.

Beliau berkata perancangan jangka panjang perlu diambil bagi mengatasi air di Sabah dapat diatasi.

“Bila air banyak kita simpan air berkenaan untuk digunakan semasa musim kemarau dan itulah kegunaan empangan iaitu untuk menyimpan dan membekalkan air yang mencukupi,” katanya.

Mengulas mengenai perasmian jalan berkenaan, Mohd Shafie berkata jalan sepanjang 2.7 kilometer yang memakan belanja sebanyak RM13.5 juta siap dibina pada Disember tahun lepas.

“Jalan ini akan memberikan banyak manfaat seperti mengurangkan kesesakan lalu lintas dan masa perjalanan di sekitar Inanam dan Bukit Padang.

“Selain itu pembinaan jalan ini akan menjadi pemangkin pembangunan di sekitar kawasan ini dan saya percaya tidak lama lagi akan ada perumahan dibina di sini,” tambahnya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai penahanan 13 individu yang disyaki pengganas di Semporna dan Tambunan, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri menyokong segala usaha penahanan kesemua suspek berkenaan.

“Kita telah menerima maklumat mengenai penahanan itu dan kita menyokong segala usaha untuk menangkap pengganas yang ada di Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *