Luluh hati anak lalok

IBU kepada seorang penagih dadah sempat mencium anaknya itu sebelum dibawa penguat kuasa AADK. FOTO Junaidi Ladjana

SEORANG ibu menangis melihat anaknya ditahan selepas didapati terbabit dengan masalah penyalahgunaan dadah di Kampung Rampayan, Manggatal, Kota Kinabalu.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, kira-kira 12 tengah malam.

Ketika ditahan, lelaki itu berseorangan dalam bilik tidurnya dipercayai menagih dadah sebelum dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa AADK.

Lelaki terbabit panik lalu menjerit memanggil ibunya berulang kali kerana enggan ditahan.

Ibu lelaki terbabit sebaliknya terkejut mendapati anaknya terbabit dengan masalah penagihan dadah, namun sempat mencium anaknya itu sebelum ditahan penguat kuasa AADK.

Ketua Operasi AADK Sabah, Erwan Roslan berkata, lelaki itu antara lapan individu yang ditahan dalam operasi cegah di beberapa kampung di Manggatal, Inanam Likas dan Penampang.

“Dalam operasi itu, kami menahan sembilan lelaki kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian air kencing mendapati lapan lelaki positif dadah syabu,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK Kota Kinabalu.

ERWAN (berdiri, dua dari kiri) bersama sebahagian individu yang ditahan dalam Ops Cegah di sekitar Kota Kinabalu. FOTO Junaidi Ladjana

Erwan berkata, enam lelaki berusia antara 54 hingga 22 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Dua lelaki berusia 32 dan 37 yang juga adik-beradik ditahan mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atas kesalahan gagal melapor diri.

“Operasi ini akan diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat kepada AADK Sabah atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Operasi cegah yang bermula 9 malam dan berakhir 3 pagi hari ini dilakukan lapan anggota dan pegawai penguat kuasa AADK Negeri dan Kota Kinabalu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *