Lelaki bom ikan ditahan

PPM menahan lelaki disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Bum-Bum, Semporna. Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Bum-Bum dekat Semporna, petang semalam.

Lelaki tempatan berumur 23 tahun itu ditahan susulan maklumat yang disalurkan Unit Risikan Marin (URM) berkaitan kegiatan mengebom ikan di kawasan perairan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepasukan anggota PPM yang menjalankan rondaan Op Pensura digerakkan ke kawasan perairan terbabit, kira-kira 5 petang.

Katanya, ketika pemeriksaan pasukan keselamatan menemui satu botol kaca berisi baja ammonia dan dua kotak mancis serta dua kilogram (kg) ikan belawis yang dipercayai ditangkap hasil daripada aktiviti mengebom ikan.

“Suspek ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 26 (1) (b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, turut dirampas ialah bot digunakan suspek bersama satu unit enjin pam dianggarkan bernilai RM2,981.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kegiatan atau aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan yang menjadi kesalahan berat, selain perbuatan itu memusnahkan hidupan marin. – Harian Metro

PPM menahan lelaki disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Bum-Bum, Semporna. Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *