Harris sokong Shafie isu kanak-kanak tanpa negara

KOTA KINABALU: Tan Sri Harris Salleh menggesa Kerajaan Negeri agar tidak mengendahkan bantahan oleh kumpulan “minoriti” tertentu yang menentang pemutihan kanak-kanak tanpa negara di Sabah.

Bekas Ketua Menteri itu mengulangi bahawa Kabinet Malaysia, dengan penyertaan wakil-wakil Sabah dan Sarawak, telah memberi kelulusan untuk kanak-kanak warga asing dan tanpa negara yang lahir di negara ini memohon status kewarganegaraan.

Beliau berkata keputusan Kabinet itu adalah berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Malaysia dan diterbitkan di media pada 2007.

“(Tetapi) disebabkan bantahan senyap oleh kumpulan minoriti itu, pihak berkuasa tidak melaksanakan keputusan Kabinet itu. Malangnya, kumpulan majoriti tidak membuat susulan terhadap pelaksanaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Harris tidak menyatakan siapa yang beliau maksudkan dengan kumpulan “minoriti” dan “majoriti” itu, kecuali 200 tahun yang lalu, Sabah diperintah oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu.

Beliau berkata rakyat ketika itu adalah orang nomad dan bebas bergerak di antara kawasan Suluk dan Indonesia.

“British menggalakkan pergerakan ini untuk mengimbangi penghijrahan orang-orang dari Hong Kong, China dan Taiwan.

Pendatang ini membantu dalam pembangunan awal ekonomi Sabah. Semuanya dialu-alukan dan ini berterusan sehingga akhir 1970-an,” katanya.

Kenyataan Harris itu dibuat susulan isu yang timbul mengenai cadangan kerajaan untuk mendaftarkan kanak-kanak tanpa negara di Sabah yang telah menarik kritikan daripada pelbagai pihak dan NGO di Sabah, terutama pembangkang yang mencurigai ia sebahagian daripada agenda lebih besar untuk memutihkan pendatang asing, termasuk menjadikannya sebagai kumpulan pengundi pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi jaminan bahawa pendaftaran kanak-kanak tanpa kerakyatan yang salah seorang ibu bapanya rakyat Malaysia akan dilaksanakan dengan telus.

Harris berkata Shafie wajar disokong supaya beliau dapat melaksanakan apa yang telah diputuskan oleh Kabinet Persekutuan.

“Ia hanyalah soal pelaksanaan. Keputusan undang-undang telah dibuat dan tidak ada keperluan undang-undang tambahan,” katanya.

Harris berkata rakyat Sabah tidak perlu bimbang untuk menerima kanak-kanak asing dan tanpa negara itu.

“Lagipun, kini terdapat lebih daripada 1.5 juta warganegara Malaysia di Sabah. Kanak-kanak warga asing dan tidak mempunyai kerakyatan termasuk Murut di Long Pasia, Pensiangan di sepanjang sempadan dengan Kalimantan, Indonesia, juga harus diberikan kewarganegaraan.

Bilangan kanak-kanak ini mungkin tidak lebih daripada 50,000, sedikit sahaja berbanding lebih daripada 1.5 juta itu,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pemutihan kanak-kanak itu akan menyumbang kepada ekonomi Sabah.

“Harus diakui bahawa ibu bapa mereka telah membantu membawa kemajuan besar kepada Sabah. Mengesahkan kanak-kanak itu akan mendorong ibu bapa mereka bekerja lebih keras dan menjana lebih banyak kemajuan ekonomi untuk Sabah,”  katanya.

“Tanpa orang Suluk dan Indonesia dalam industri pembinaan dan perladangan, Sabah tidak akan maju seperti sekarang ini.

“Orang tempatan tidak mengambil bahagian dalam industri ini. Sebaliknya, lebih daripada 300,000 anak tempatan bekerja di Malaya dan Singapura,” katanya, sambil menambah bahawa malangnya rakyat Kadazan yang berumur di bawah 35 tahun dilarang bekerja di pulau republik itu. – Harian Ekspres

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *