Atasi Kehadiran Lebih Satu Juta PTI Dan 200 Ribu Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan Di Sabah

Datuk Stephen Wong menyampaikan ucapan bahas di Parlimen hari ini. Gambar Pejabat Perhubungan Parlimen Sandakan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera untuk menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) serta isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang telah lama wujud di Sabah.

Kata Wong di seluruh Sabah terdapat melebihi satu juta orang pendatang asing tanpa izin (PTI), manakala kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang berada di Sabah kini telah mencecah 200 ribu orang.

“Masalah ini telah wujud di Sabah selama berpuluh-puluh tahun, dan bertambah serius sehingga keadaan hari ini. Ini adalah kerana kerajaan yang lalu tidak prihatin dan tidak peduli. Kini adalah masanya untuk kita menyelesaikan masalah ini bersama-sama,” kata Wong.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan usul terimakasih terhadap Titah diRaja di Persidangan Parlimen hari ini.

Wong yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata sedangkan banyak sektor mengalami kekurangan buruh asing, dan kebanyakan PTI diupah sebagai buruh haram, maka adalah dicadangkan untuk membuka permohonan permit pekerja asing, dimana ia akan mendatangkan tiga kebaikan kepada kerajaan secara keseluruhannya.

Kata Wong, yang pertama, kerajaan boleh mengutip levi dan menambah pendapatan Negara daripada golongan ini.

Selama ini, terdapat pihak yang mengutip levi secara haram. Kerajaan mengalami kerugian tetapi masalah PTI tetap tidak dapat diselesaikan.

“Kedua, melalui pengeluaran atau pemberian working permit, kerajaan memperoleh maklumat terkini golongan PTI, kerja-kerja pemantauan dan pengawalan dapat dilakukan, dan seterusnya mengurangkan masalah sosial di Sabah; Ketiga, PTI yang bekerja sebagai buruh haram terpaksa bersembunyi apabila pihak penguatkuasa menjalankan operasi tangkapan. Seluruh pasaran tidak dapat berfungsi dengan lancar apabila mereka terpaksa bersembunyi dan tidak dapat bekerja. Ini sudah tentu membawa impak negatif kepada ekonomi Sabah,” ujar Wong.

Di samping itu, Wong juga menggesa kerajaan mengiktiraf status kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk mendapatkan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, agar tidak mendatangkan masalah sosioekonomi dan masalah kesihatan kepada masyarakat.

“Sedangkan golongan PTI dicadangkan berpeluang untuk memohon permit pekerja asing, maka bagi golongan anak-anak mereka yang tidak mempunyai dokumen sah, satu sijil khas boleh dikeluarkan untuk mengiktiraf status mereka sebagai anak-anak kepada buruh asing, mereka sememangnya bukan warganegara, tapi pengiktirafan itu adalah untuk membolehkan mereka menerima pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, supaya mereka tidak membawa masalah sosioekonomi kepada masyarakat tempatan,” tambah Wong.

“Manakala bagi golongan kanak-kanak tempatan yang lahir di Sabah dan bapanya adalah warganegara, ibubapa tiada sijil perkahwinan, dan bagi yang lewat berdaftar, permohonan mereka biasanya dikategori di bawah Borang 15A, mereka ini sememangnya Original Sabahan, golongan kanak-kanak ini harus diberi keutamaan supaya pengiktirafan status diberi kepada mereka,” jelas Wong.

Wong juga mengingatkan semua pihak agar jangan cuba memperpolitikkan isu ini, sebaliknya harus bergabung bersama-sama demi kebaikan Sabah.

Selain itu, Wong juga memohon kepada Kementerian Sumber Manusia, agar mengurangkan kadar deposit buruh asing bagi agensi-agensi buruh asing di Sabah.

“Sekarang kadarnya ialah RM250,000, dulu ialah RM50,000. Kenaikan kadar deposit Ini amat membebankan agensi-agensi di Sabah,” kata Wong.

Wong menjelaskan bahawa, tahap antara Sabah dan Semenanjung adalah berlainan. Sebagai contoh, seorang pembantu rumah di Sabah hanya dicaj RM4,500, di Semenanjung pula dicaj RM18,000 oleh agensi buruh asing.

“Ini menunjukkan agensi buruh asing di Sabah tidak berupaya untuk bayar deposit yang begitu tinggi kerana caj rendah dan peniaga di Sabah memang tidak berupaya untuk bayar caj yang tinggi. Memandangkan tahap masih berlainan, saya harap Kementerian Sumber Manusia dapat mengurangkan deposit buruh asing dan kembali ke kadar lama, demi meringankan beban agensi-agensi di Sabah,” kata beliau. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *