Segerakan usaha naiktaraf Kiulu sebagai daerah kecil

TIMBALAN Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN), Jo-Anna Sue Henley Rampas. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diharap mempercepatkan usaha merealisasikan harapan penduduk supaya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dinaiktaraf sebagai daerah kecil.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN), Jo-Anna Sue Henley Rampas, berkata ia akan membolehkan lebih banyak kemudahan dinikmati penduduk Kiulu.

Kiulu yang terletak di daerah Tuaran, mempunyai 105 kampung dengan didiami lebih 50,000 penduduk, majoritinya masyarakat Kadazandusun.

“Hasrat kerajaan memang sudah ada (menaik taraf Kiulu sebagai daerah kecil) tetapi belum direalisasikan. Saya harap kerajaan dapat mempercepatkan termasuk mewujudkan pejabat daerah kecil Kiulu demi manfaat penduduk.

“Pada masa sama, penduduk Kiulu memerlukan Pejabat Pos supaya mereka tidak perlu lagi berulang alik ke Tuaran atau Tamparuli,” katanya kepada BH.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilaporkan berkata usaha menaik taraf Kiulu, yang terletak 60 kilometer dari Kota Kinabalu kepada daerah kecil, sedang dalam pelaksanaan.

Jo-Anna yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, berkata Pejabat Pertanian khususnya Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) juga perlu dibuka di Kiulu kerana sebahagian besar penduduknya adalah petani.

Mengulas lanjut, Jo-Anna berkata kerajaan pimpinan WARISAN memberi tumpuan kepada usaha pembangunan rakyat khususnya di luar bandar.

“Lebih banyak pembangunan perlu dibawa ke luar bandar dan pedalaman, sejajar fokus utama kerajaan negeri. Paling penting jalan raya kerana masih ada kampung tiada kemudahan jalan yang baik, sekali gus menyukarkan penduduk untuk berulang alik ke ke pekan.

“Kedua, perlunya sistem air graviti yang lebih baik kerana belum semua kampung mendapat air terawat, sebaliknya banyak menggunakan air graviti. Contohnya di Kiulu, hampir 60 peratus penduduk bergantung kepada air graviti, selain ada menggunakan telaga,” katanya.

Beliau juga berkata tanaman yang diusahakan petani wajar dipelbagaikan supaya mereka tidak bergantung kepada satu jenis tanaman saja.

“Saya melihat kemungkinan untuk mengambil inisiatif menggalakkan petani menanam nanas di Kiulu seperti dilakukan di DUN Kadamaian, susulan harga getah yang semakin menurun,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *