Sabah gugur istilah ‘negeri’ bila tiba masanya

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Taklimat Khas Program Pengakuan Sukarela Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), hari ini. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menggugurkan istilah ‘negeri’ sekiranya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pengiktirafan itu hanya akan dilakukan apabila tiba masanya.

Beliau berkata, ketika ini apa yang penting ialah perkara dimeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan sebaik mungkin kerana rakyat Sabah sudah lama menunggu.

“Apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah ialah apa yang dijanjikan pada tahun 1963 dapat ditunaikan.

“Ada antara perkara tidak ditunaikan dan sebahagiannya seperti dalam Perlembagaan itu (Perkara 1(2) yang penting kepada kita, agar kedudukan Sabah dan Sarawak diiktiraf seperti dulu.

“Walaupun kita tahu (Sabah dan Sarawak) bukan lagi sebuah negara kerana kita adalah Malaysia, tetapi ia membabitkan wilayah yang ada kelainan sedikit dari segi kedudukannya.

“Apa yang penting sekarang adalah mendapat sokongan (Dewan Rakyat). Oleh itu, pengiktirafan (pindaan) itu kita akan lakukan bila sampai waktunya,” katanya.

Beliau mengulas ketika ditanya sama ada Sabah bercadang untuk menggugurkan istilah ‘negeri’ sekiranya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Taklimat Khas Program Pengakuan Sukarela Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dan Naib Presiden FCAS, Datuk Chua Soon Ping.

Pada 8 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, berkata kerajaan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Mengenai program itu, Mohd Shafie berkata, ia adalah inisiatif yang baik anjuran LHDN bersama FCAS, antara lain menggalakkan pembayar cukai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Ini kerana apa yang kita bayar (cukai) termasuk daripada peniaga, akan dikembalikan oleh kerajaan untuk pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan Sabah alu-alukan program ini,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *