Penduduk Sabah hampir mencecah 4 juta, Kedua tertinggi di Malaysia

ORANG ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Malaysia Ke-55, di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. – NSTP/Lano Lan

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Sabah mempunyai jumlah penduduk kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor iaitu 3.9 juta pada tahun 2017. Di daerah Kota Kinabalu sahaja, terdapat 553.9 ribu penduduk, dengan 51.5 peratus lelaki dan 48.5 peratus wanita.


Bukan sekadar pusat pentadbiran, Kota Kinabalu kini menjadi destinasi utama pelancong.

Berdasarkan laporan Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah mencecah 3.7 juta orang pada tahun 2018.


Kota Kinabalu yang diangkat statusnya sebagai bandaraya pada 2 Februari 2000, merupakan bandaraya keenam dirasmikan di Malaysia.


Bermula dengan nama Api-Api dan juga Jesselton, kini ia muncul sebagai bandaraya kesepuluh terbesar bersama Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru, Ipoh dan Kuching.

Ketua Polis Daerah ACP Habibi Majinji


BANDARAYA PALING SELAMAT
Melihat kepada situasi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan motto, ‘Keselamatan dan Kesejahteraan Keutamaan Kami’.

Ia merupakan IPD pertama seumpamanya di Malaysia yang optimis merealisasikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandaraya paling selamat dikunjungi dan didiami.

Ketua Polis Daerah ACP Habibi Majinji yang ditemui pada Sambutan Hari Keluarga Pasukan Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) atau Police Volunteer Reserved (PVR) baru-baru ini, menjelaskan pihaknya menggerakkan kekuatan secara optimum dalam langkah-langkah pencegahan dan pembanterasan jenayah di ibu negeri.

“Motto ‘Keselamatan dan Kesejahteraan Keutamaan Kami’ adalah sempena nama bandaraya, iaitu perkataan yang bermula dengan huruf K. Misi kita adalah untuk merealisasikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya paling selamat untuk dikunjungi dan didiami.

“Bagi maksud itu, kita menggerakkan semua elemen di lapangan untuk memastikan keselamatan berada di tahap yang terbaik.

Elemen itu termasuklah rondaan berkala oleh Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan kediaman dan perindustrian.

“Satu lagi keistimewaan IPD Kota Kinabalu ialah rondaan berbasikal di tamantaman awam oleh pasukan PVR. Dengan itu, anggota kita bersifat omnipresence (terdapat di mana-mana) di lokasi yang menjadi tumpuan,” ujarnya.

Mengenai sambutan hari keluarga itu, Habibi berkata program yang melibatkan anggota serta ahli keluarga PVR dan para pegawai dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (PJKK) itu, amat baik untuk menyuburkan nilai murni serta semangat bekerjasama dalam satu keluarga yang besar.


KOMPONEN BANTU CEGAH JENAYAH
Di peringkat IPD, pasukan PVR diletakkan di bawah pentadbiran Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti DSP Kalsom Idris.

Beliau berkata, penglibatan PVR dalam penugasan pencegahan jenayah sangat membantu pihak IPD dari segi menambah kekuatan pasukan.

“PVR biasanya membantu dalam penugasan seperti jaga aman, kawalan lalu lintas dan operasioperasi cegah jenayah yang memerlukan kekuatan yang ramai. Peranan mereka ketika bertugas sama seperti polis regular tetapi kuasa itu hanya akan berjalan apabila diberi penugasan oleh pihak IPD seperti pemeriksaan serta tangkapan.

Tanpa penugasan, mereka tidak boleh jalankan kuasa-kuasa polis.

“Dalam konteks motto kita, PVR juga termasuk dalam elemen-elemen keselamatan bersama anggota regular sebagai front liner. Setakat ini, kita ada satu team ronda basikal PVR bersama anggota regular di Taman Awam Likas. Syukur, kita berjaya menurunkan kadar jenayah dan menerima respon positif daripada orang ramai,” jelas beliau.

Selain Kalsom bersama para pegawainya, Ketua Unit URB (Unit Rondaan Bermotosikal)/ BIT/Pelancong ASP V Naresh Kumar A/L Verapan dan Ketua Unit MPV ASP Syahrin Ali, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah DSP Ladamah Sulaiman turut serta dalam beberapa acara sukaneka antaranya music chair, tarik tali, teka jumlah guli dan poco-poco di Taman Awam Likas, Sabtu lalu.

PVR KONTINJEN SABAH
Menurut Komanden PVR Kontinjen Sabah Supt/ SP Paul Lajumin, jumlah keanggotaan PVR di Malaysia kini mencecah 20,000 anggota.
Di Sabah, seramai 2,636 anggota ditempatkan di balai-balai polis seluruh Sabah yang diselia oleh seorang Ketua Sukarelawan Polis Daerah (KSPD).

Sementara, di peringkat IPD Kota Kinabalu, pasukan PVR dianggotai seramai 471 orang termasuk tiga pegawai iaitu ASP/SP Ag Usli Mohd Salleh sebagai KSPD, dibantu dua pegawai, Insp/SP Noran Addy Sukiran dan Insp/SP Mohd Fadli Izan Mat Min.

Jelas Ag Usli, urusan penugasan anggota turut diselaraskan oleh tujuh penyelia balai Polis mengikut pentadbiran IPD. Mereka adalah Sarjan/Sp Henry Titin (Balai Polis Kota Kinabalu), Koperal/SP Al Jospeh Malibin (Balai Polis Alam Mesra), Koperal/SP Terrence James (Balai Polis Inanam), Koperal/SP
(Balai Polis Menggatal), Koperal/SP Mazlan Mutalib (Balai Polis Tanjung Aru) dan Lans Koperal/SP Rayner Stephen (Balai Polis Luyang).

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Supt George Abd Rakman ketika dihubungi mendedahkan, pasukan PVR merupakan formasi yang diwujudkan di bawah PDRM sejak tahun 1957 sebagai unit bantuan tenaga manusia atau manpower kepada polis dalam pencegahan jenayah.

“Syarat utama untuk menyertai pasukan PVR mestilah mempunyai kerja hakiki dan yang lain sama seperti anggota regular cuma ada sedikit kelonggaran dari segi fizikal, akademik dan sebagainya untuk memberi peluang kepada orang awam menceburkan diri dalam kerjaya polis sambil menyumbang tenaga kepada negara, tanpa meninggalkan kerja hakiki,” katanya.

Sesungguhnya, sumbangan dan peranan PVR mungkin agak kecil namun penglibatan PVR dalam pasukan secara tidak langsung dapat mengupayakan kredibiliti polis sebagai organisasi yang menguatkuasakan undangundang, mengukuhkan hubungan di antara polis dan masyarakat, dan menepis persepsi negatif rakyat terhadap integriti Sang Saka Biru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *