Lelaki bunuh bekas isteri dan anak tiri terlepas hukuman mati

GAMBAR HIASAN

Terlepas hukuman mati

LELAKI warga Indonesia terlepas hukuman mati selepas dakwaan membunuh ditukar kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Sandakan, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Bexter Agas Micheal sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Bakri Rukka, 43, menyebabkan kematian tanpa niat terhadap bekas isteri, Hasura Sima, 36, dan anak tirinya, Mohd Basri Jamaluddin, 24, pada 2016.

Hakim memutuskan pertuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan pada peringkat penutupan pembelaan dan menetapkan hukuman penjara daripada tarikh ditangkap pada 11 Januari 2016.

Mengikut kertas pertuduhan, Bakri dituduh membunuh bekas isteri dan anak tirinya di alamat LQ65, Blok E, Rumah Kongsi Pekerja, Ladang Permodalan 1, Kinabatangan pada 5.20 pagi.

Di mahkamah sama, hakim turut membebas dan melepaskan lelaki warga Indonesia, Ignasius Subun tanpa memanggil pembelaan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Ignasius, 30, dituduh membunuh Yohanes Nino, 31, pada 12 Oktober 2016, kira-kira 7.50 pagi di Blok 58, No 15, Divisyen 4, Segampa, Ladang Genting, Pulau Jambongan, Beluran dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggam Bennet, manakala tertuduh diwakili peguam, Farazwin Haxdy yang dilantik Konsul Jenderal Republik Indonesia cawangan Kota Kinabalu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *