PH Setuju Kiandee Kekal Pengerusi PAC

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

PUTRAJAYA, 16 Mac – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ketika beliau menjadi anggota pembangkang dan pelantikan itu mematuhi manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata gabungan itu tidak boleh menghalang hasrat Kiandee untuk menyertai parti pemerintah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

“Dia (Kiandee) daripada parti lawan. PH pilih parti lawan bermakna kita patuh kepada manifesto. Tetapi kalau dia (Kiandee) pilih untuk masuk parti kerajaan apa kita boleh buat. Bukan dia dipilih daripada parti kerajaan, dia dipilih daripada parti lawan,” katanya.

Dr Mahathir pada majlis penyertaan lapan bekas pemimpin UMNO Sabah termasuk Kiandee ke Bersatu semalam berkata Kiandee akan kekal sebagai Pengerusi PAC dan beliau tidak akan meminta Anggota Parlimen Beluran itu untuk melepaskan jawatan.

Ditemui pemberita selepas melancarkan Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di sini hari ini, Dr Mahathir ditanya sama ada mengekalkan Kiandee itu merupakan pengabaian janji manifesto PH, Dr Mahathir berkata : “PH tidak pernah menjangka beliau akan menyeberang ke sini.”

Dr Mahathir turut ditanya sama ada parti komponen PH bersetuju Kiandee kekal sebagai Pengerusi PAC, beliau berkata: “Setakat yang saya tahu semua (parti komponen PH) setuju (Kiandee kekal).”

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *