Dadah Berjumlah RM12,500 Berjaya Dirampas – Habibi Majinji

Suspek yang miliki dan menyalahgunakan dadah yang ditangkap dalam Op Sarang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan yang disyaki memiliki dadah jenis ganja antara 72 yang ditangkap dalam operasi Op Sarang yang dijalankan sekitar daerah ini dalam tempoh seminggu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kedua-dua lelaki tempatan itu ditangkap di Tanjung Aru dan Asia City Kota Kinabalu kerana masing-masing disyaki memiliki 114.56 gram dan 54.50 gram ganja.

Katanya, dalam operasi yang bermula 9-14 Mac itu, secara keseluruhan sebanyak 175.71 gram ganja dan 42.62 gram dadah jenis syabu yang bernilai RM 12,500 berjaya dirampas.

Beliau berkata, operasi selama seminggu itu diadakan sekitar kawasan Kampung (Kg) Lembaga Padi Inanam, Kg Cenderamata Likas, Kg Bakau dan sekitar Manggatal, Tanjung Aru dan Bandaraya Kota Kinabalu.

Antara suspek yang ditahan dalam operasi membanteras dadah sekitar Kota Kinabalu

Menurutnya, daripada 72 yang ditangkap 47 orang adalah warga tempatan dan 25 orang warga asing yang berusia antara 17 hingga 55 tahun.

”Seramai 22 orang ditangkap kerana memiliki dadah dan 50 orang ditangkap atas kesalahan urin positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Tangkapan yang dilakukan melibatkan kesalahan dibawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *