Ambil Tindakan Segera Terhadap Syarikat Konsesi Di CIQ Tawau

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap syarikat konsesi yang didakwa ‘berkuasa’ di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau dengan bertindak mengenakan bayaran melampau terhadap setiap individu yang menggunakan kemudahan itu.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata, pelbagai aduan telah diterima daripada pelancong, nelayan dan semua pihak yang pernah menggunakan CIQ itu mengatakan bayaran tidak munasabah dikenakan oleh Fokusjadi Sdn. Bhd., syarikat yang menguruskannya.

“Bukan sahaja pelancong dikenakan bayaran RM30 ketika masuk dan keluar dari CIQ malah semua kru kapal nelayan Indonesia yang datang ke CIQ untuk mengimport ikan turut dikenakan bayaran RM30.

Ma’mun Sulaiman

“Sebagai contoh mereka sampai ke CIQ kemudian cop pasport masuk untuk menghantar ikan sudah kena bayar RM15 kemudian masa keluar kena bayar lagi RM15, setiap hari ada 42 kapal nelayan dengan lima kru setiap satu, syarikat itu memang ambil untung,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Ma’mun berkata, tidak cukup dengan itu, setiap kapal nelayan yang lewat sampai untuk menghantar ikan difahamkan turut didenda RM1,500 setiap satu.

Tegas beliau, para pelancong dari Indonesia atau sesiapa sahaja yang melalui CIQ berkenaan tidak akan terlepas daripada membayar caj tersebut yang dikenakan sendiri syarikat berkenaan.

“Setiap kali ada orang dan pelancong sampai atau keluar barang mereka akan diasingkan kemudian disuruh beratur berjam-jam sebelum selesai urusan manakala barangan mereka dikenakan caj RM1.30 sekilogram.

“Tindakan syarikat ini perlu dihentikan serta-merta kerana menjejaskan industri perikanan dan pelancongan Tawau,” tegas beliau.

Chan Foong Hin

Sementara itu, bekas ADUN  Sri Tanjong, Chan Foong Hin berkata, aduan rasmi telah diterima beliau mengenai ketidakpuasan hati pengunjung dari Nunukan, Indonesia yang selalu datang ke Tawau kerana terpaksa membayar caj yang tinggi.

Katanya, operasi di CIQ itu sepatutnya memberi impak positif kepada perdagangan Sabah dengan negara-negara ASEAN terutama Indonesia, justeru pihak-pihak yang mengambil kesempatan perlu diambil tindakan.

“Baru-baru ini ada protes daripada pengusaha feri dari Nunukan dan Tarakan yang menghentikan operasi mereka menyebabkan 700 penumpang terkandas, ini membuktikan isu tersebut telah memburukkan ekonomi kedua-dua negara.

“Jabatan Dermaga dan Pelabuhan Sabah perlu memperbetulkan keadaan ini,” katanya.

Syarikat konsesi itu, Fokusjadi Sdn. Bhd. telah diberikan tanggungjawab mengawal operasi di CIQ Tawau selama 23 tahun sejak Disember lalu.

Infrastruktur tersebut yang boleh menampung 1,000 penumpang feri sehari sepatutnya memberi keselesaan kepada pengguna bukannya menyusahkan mereka.

Terdapat dua pergerakan feri untuk laluan pergi balik Tawau ke Nunukan dan lima pergerakan bagi laluan pergi balik Tawau ke Tarakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *