Terima kasih semua…

Gambar fail, Mohd Soffian Abdullah, 47, dan isteri Surina A.Tahir bersama anak mereka Mohd Syafiee Jeffry, 23, yang disahkan menghidap kanser tahap 4, di kediaman mereka di Sandakan. – Foto Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: “Terima kasih atas sumbangan sehingga dana rawatan untuk anak saya sudah mencukupi,” kata Jeffry Peter @ Mohd Soffian Abdullah, 47, bapa kepada Mohd Syafiee, 23, pesakit kanser usus tahap empat.

Mohd Soffian berkata, sehingga kini dana untuk membawa anaknya menjalankan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sudah mencukupi.

“Alhamdulillah pada 17 Mac ini, kami akan terbang ke Semenanjung untuk membawa Syafiee mendapatkan rawatan.

“Kami sekeluarga sungguh terharu dan amat bersyukur dengan sumbangan rakyat Malaysia sehinggalah keperluan kewangan yang kami perlukan mencapai sasaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

NSTP sebelum ini melaporkan Mohd Soffian, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melanta, di sini, merayu orang ramai untuk membantu meringankan beban keluarga menampung kos rawatan anaknya yang menghidap kanser usus tahap empat.

Ia menelan belanja sekurang-kurangnya RM20,000.

Menurutnya, semoga pintu rezeki pihak yang menyalurkan sumbangan kewangan kepada keluarganya dibukakan seluas-luasnya oleh Allah SWT.

Sementara itu, isterinya Surina A Tahir, 45, berkata anak sulungnya semakin bersemangat selepas mengetahui dana untuknya menjalani rawatan sudah mencukupi.

“Tolong doa-doakan Syafiee sembuh. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa baik semua dermawan yang membantu keluarga kami,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *