SANDAKAN, 15 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2,000 biji telur penyu melalui jalan laut dekat Batu 2 1/2 di sini petang semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota PPM Sandakan yang membuat intipan dan pemantauan ketika menjalankan Operasi Pensura di kawasan itu, telah mengesan beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di sebuah tempat pemunggahan hasil laut yang tidak diwartakan.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, beberapa lelaki bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau dan gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut mendapati 2,000 biji telur penyu disembunyikan di dalam kotak polisterin dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran dan dianggarkan bernilai RM4,000.
“Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan dan kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.
— BERNAMA