Kemalangan Bas, Pelancong Patah Tulang Rusuk Dan Belakang

Keadaan bas pelancong yang terbabas di Jalan Kota Belud – Kota Marudu berhampiran Kampung Kesapang, Kota Belud. – Foto Ihsan Pembaca

KOTA BELUD: Seorang pelancong Cina lelaki cedera parah, manakala tiga yang lain cedera ringan apabila bas pelancong jenis Nissan TQ yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kampung Kesapang Jalan Kota Belud-Kota Marudu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata Fong Rong, 37, yang berasal dari Shanghai China itu mengalami patah tulang rusuk dan tulang belakang dalam kemalangan 9.30 pagi itu.

Katanya tiga lagi mangsa, masing-masing berumur 35, 37 dan 49 tahun mengalami luka kecil di tangan serta bengkak di kaki serta tangan.

Siasatan awal mendapati, bas yang membawa 16 pelancong China bergerak dari Kota Kinabalu menuju ke Kampung Rampayan Kota Belud.

Namun, setibanya di kawasan Kampung Kesapang bas berkenaan hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan dan masuk ke dalam parit lalu terbalik.

Bas berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pintu hadapan, bumper depan, cermin belakang kanan dan kiri, selain badan bas tersebut di kiri serta kanannya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba (PB), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Patrick Marius Liansun berkata mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kota Belud sebelum ketibaan pihaknya di lokasi kejadian.

Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *