KDN Nafi Pemutihan Bertujuan Beri Dokumen Kepada Warga Asing

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri memandang serius tuduhan pihak tertentu kononnya cadangan program pemutihan kanak-kanak tanpa negara (stateless) sebagai langkah memberikan kad pengenalan kepada warga asing.

Timbalan Menterinya, Datuk Azis Jamman berkata, jawapan yang diberikan di dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini adalah jelas mengenai langkah kerajaan membantu golongan kanak-kanak itu terutama jika salah seorang daripada ibu bapa mereka adalah rakyat Malaysia.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

AZIS JAMMAN

1. Saya memandang serius tuduhan berhubung jawapan saya selepas diajukan soalan oleh Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang dipolemikkan walhal saya hanya menjawab soalan beliau yang meminta kerajaan menyatakan usaha untuk membantu warganegara yang berkahwin dengan bukan negara dan anak mereka tidak mempunyai dokumen.

2. Jawapan saya di Dewan Rakyat adalah jelas di mana saya menyatakan program pemutihan dicadangkan agar kerajaan boleh membuat bancian sekaligus membantu mereka yang berada dalam kategori tersebut dengan memberikan mereka dokumen pengenalan diri.

3. Jangan pula ia disalah tafsir dan menyeleweng fakta, cadangan pemberian dokumen pengenalan diri bukan bermaksud memberi kewarganegaraan secara automatik tetapi dokumen pengenalan diri bagi membolehkan kerajaan mengetahui identiti (muka, cap jari) seterusnya mengetahui bilangan mereka yang ada.

4. Bagi kes-kes di mana status mereka adalah jelas di mana mereka ini semenangnya warganegara tanpa mengira kaum, bangsa dan agamanya, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka kerana sudah memenuhi syarat tersebut.

5. Dalam usaha memutihkan golongan ini, tidak bermakna tiada usaha kerajaan untuk membantu dan menjejaki golongan bumiputera yang duduk jauh terpencil di pedalaman dan di pulau-pulau sehingga menyebabkan anak-anak mereka tidak berdaftar malah kerajaan sentiasa berusaha membantu golongan ini dengan melaksanakan program outreach melalui penubuhan Pasukan Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN Mobile).

6. Kerajaan sentiasa mengambil peduli mengenai hak kanak-kanak dan ini merangkumi semua kanak-kanak di Malaysia seperti yang dimeterai dalam Konvensyen Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

7. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan sebagai menandatangan konvensyen tersebut untuk melindungi dan membangun semua kanak-kanak tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan.

8. Pihak kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak atau masyarakat pribumi Sabah seperti dituduh tetapi ia hanyalah satu strategi untuk menyelesaikan masalah kanak-kanak tanpa dokumentasi mengikut perbezaan konteks dan realiti persoalan undang-undang.

9. Kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semua kaedah-kaedah dan konteks masalah kanak-kanak yang berisiko menjadi tiada negara (stateless).

10. Kerajaan komited untuk membantu semua kanak-kanak di Sabah tanpa mengira kaum agama ataupun status kewarganegaraan kerana semua kanak-kanak perlu dilindungi secara bersama. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *