IPD Semporna lancar unit polis pelancong

SEMPORNA, 15 Mac – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna hari ini melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan Unit Polis Pelancong yang dikendalikan sendiri pihak IPD.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Peter Umbuas berkata penubuhan unit itu berdasarkan kepada keperluannya di Semporna sebagai destinasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.

“Purata sehari kemasukan pelancong ke daerah ini dianggarkan 1,500 pelancong dan pada waktu kemuncak (hari cuti umum) boleh mencecah sehingga 3,000 pelancong sehari,” katanya.selepas menyempurnakan program ‘3 in 1 high profile policing’ termasuk melancarkan Unit Polis Pelancong IPD Semporna di sini, hari ini.

Peter berkata, mengikut statistik diterima pihaknya, 105,214 pelancong direkodkan berkunjung ke daerah ini bagi tempoh Januari hingga Februari dengan 90 peratus pelancong dari China.

Dalam pada itu, kriteria pemilihan anggota unit itu mestilah fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris  kerana kebanyakan pelancong adalah dari China dan mereka kurang mahir berbahasa Inggeris atau Melayu, katanya.

Setakat ini, unit itu dianggotai empat orang serta satu aset kenderaan disediakan dan terdapat cadangan  untuk menambah anggota dan aset, katanya.

Menurut Peter, unit itu akan sentiasa bergerak di pekan Semporna, jeti umum termasuk kawasan tumpuan pelancong di pulau atau pusat peranginan.

“Unit ini ditubuhkan selepas mendapat lampu hijau daripada Ketua Polis Negara dengan kekuatan awap seramai empat orang yang boleh berbahasa Mandarin, Melayu, Inggeris serta bahasa tempatan lain,” katanya lagi.

Pada program itu, Peter turut memperkenal empat anggota unit berkenaan iaitu Lans Koperal Catherine Wong Siao Chee, Koperal Harvinda Hadis, Konstabel Fong Jun Sam dan Konstabel Sulaiman Abdul.

Harvinda, 30, berkata kebolehannya menguasai bahasa Mandarin serta Inggeris dengan baik antara faktor dipilih menyertai unit itu.

“Besar harapan kami untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan saya turut berharap masyarakat bersama polis memastikan kesejahteraan daerah ini dan keselamatan terjamin,” katanya lagi.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *