Hina PM: Polis diminta siasat FB Jufazli Shi

Abu Bakar (Kiri) menyifatkan tindakan Jufazli Shi (Kanan) sebagai penghinaan yang didakwa biadap serta menghina Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SHAH ALAM – Pihak berkuasa diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pemilik akaun Facebook, Jufazli Shi Ahmad yang didakwa biadap serta menghina Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya yang menyifatkan penghinaan yang dibuat oleh pemilik akaun media sosial tersebut menerusi video berdurasi 41.03 minit yang dimuat naik semalam itu adalah keterlaluan apatah lagi melibatkan penggunaan kata-kata kesat. 

“Bagi saya tindakan dia (Jufazli Shi Ahmad) ini bukan contoh yang baik untuk rakyat. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi menghina pemimpin dengan kata-kata sedemikian adalah tidak kena budaya, adat serta peribadi kita sebagai seorang muslim. 

“Demokrasi ada itu memberi kebebasan kepada mana-mana pihak untuk bersuara, tetapi jangan salahgunakan kebebasan itu untuk memfitnah, memaki-hamun atau mencaci seseorang dengan kata-kata yang jelek,” katanya di di sini hari ini.  

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu berharap agar pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau sebarang penyebaran media sosial yang menghina serta memfitnah apa sahaja berkaitan kedudukan agama Islam, raja-raja Melayu serta perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Pemantauan itu katanya termasuklah terhadap sebarang unsur-unsur provokasi yang boleh mengundang ketegangan serta menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. 

“Sepatutnya media sosial digunakan dengan berhemah serta bermanfaat untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum, bukannya memecahbelahkan di antara satu sama lain,” ujarnya. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *