39 Notis Dikeluarkan, Tujuh Ditahan Dalam Operasi Bersepadu CIDB Di Tapak Pembinaan Di Tanjung Aru

Jabatan dan agensi terlibat melakukan pemeriksaan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu berkenaan

KOTA KINABALU: Sebanyak 39 notis termasuk satu kompaun dikeluarkan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu antara Jabatan yang diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini pada Khamis.

Pengarah CIDB Sabah Rosmen Ag Hassan berkata, notis yang dikeluarkan itu melibatkan pelbagai jenis kesalahan mengikut bidang kuasa setiap jabatan dan agensi.

Ia termasuklah 18 notis dikeluarkan oleh CIDB, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (tiga notis); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (lima notis); Jabatan Tenaga Kerja (10 notis); Jabatan Kesihatan Negeri Sabah satu notis serta satu kompaun; serta Suruhanjaya Tenaga dengan satu notis.

Beliau berkata, daripada 18 notis yang dikeluarkan CIDB itu, satu notis dikeluarkan kepada satu sub kontraktor yang didapati melakukan kesalahan menjalankan kerja melebihi gred yang dibenarkan.

Rosmen Ag Hassan

Untuk kes ini, empat kontraktor lain akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Dalam operasi itu, sebanyak 82 pekerja binaan telah diperiksa dan lapan daripadanya adalah pekerja warga tempatan dan selebihnya (74 orang) adalah warga asing.

”Hasil pemeriksaan mendapati hanya lapan pekerja yang berdaftar sebagai personel binaan manakala, 74 lagi tidak berdaftar. Kesemua yang diperiksa belum diakreditasi sebagai pekerja mahir dibawah CIDB,” katanya ketika ditemui semasa Operasi Bersepadu antara jabatan, di salah satu tapak pembinaan di Tanjung Aru.

Menurutnya, fokus penguatkuasaan CIDB dalam operasi kali ini melibatkan Akta 520 CIDB yang berkaitan pendaftaran kontraktor, kewajiban kontraktor, pembayaran levi, personel binaan, akreditasi dan bahan binaan.

Penguatkuasa CIDB menyemak status kontraktor dan pekerja di tapak pembinaan tersebut

Dalam operasi ini, kesemua pekerja didapati tidak diakreditasi. Maka, majikan boleh dikenakan denda maksima RM5,000 bagi setiap pekerja keran melanggar peraturan dibawah Jadual 3, Akta 520 CIDB.

Rosmen berkata, dalam operasi itu juga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan tujuh orang pekerja warga Filipina dan China yang didapati gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Kesemua yang ditahan JIM ini akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang tiga bulan pertama ini, CIDB telah membuka 23 kertas siasatan dan 23 kompaun telah dikeluarkan manakala, satu kes membabitkan penyediaan laporan prosiding tindakan tatatertib.

Rosmen berkata, CIDB akan terus melipatgandakan pemantauan di tapak pembinaan bagi memastikan penggiat industri pembinaan mematuhi undang-undang dan peraturan yang di tapak pembinaan yang telah ditetapkan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *