Peratus lulus sekolah luar bandar di Sabah atasi sekolah bandar

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2018 di Dewan Sekolah Menengah Lok Yuk, Likas. – NSTP/Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Buat pertama kali dalam sejarah Sabah, peratus lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon sekolah luar bandar mengatasi sekolah bandar.

Dalam keputusan SPM 2018 yang diumumkan hari ini, daripada 214 sekolah menengah di Sabah, 61 sekolah di kawasan bandar merekodkan pencapaian lulus 87.19 peratus, manakala 153 sekolah luar bandar mencapai kadar lulus 88.18 peratus, iaitu perbezaan 0.99 peratus.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin, berkata pencapaian itu antara lain disumbangkan melalui usaha Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dengan kebenaran Kementerian Pendidikan untuk menempatkan guru interim di sekolah luar bandar bagi menampung kekurangan guru.

“Kebanyakan guru interim, iaitu lepasan universiti diletakkan di luar bandar bagi menangani kekurangan guru dan ini antara faktor pencapaian sekolah luar bandar semakin meningkat,” katanya kepada media selepas mengumumkan keputusan SPM 2018 di Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk Likas di sini, hari ini.

Terdahulu, Mistirine berkata, seramai 17,420 pelajar atau 51.68 peratus daripada 34,322 calon SPM 2018 di Sabah, lulus semua mata pelajaran, meningkat 0.80 peratus berbanding 17,217 calon atau 50.88 peratus pada tahun 2017.

Katanya, seramai 152 calon di negeri ini cemerlang dengan memperoleh gred A (A+, A dan A-) bagi semua subjek pada tahun lalu.

“Sabah turut mencatatkan peningkatan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 2018 iaitu 5.44 berbanding 5.51 pada 2017.

“Peratus lulus juga meningkat iaitu 88.53 peratus pada tahun 2018 berbanding 86.20 peratus pada tahun 2017, peningkatan 2.33 peratus,” katanya.

Mistirine berkata, sebanyak 53 subjek diambil oleh calon SPM 2018 di Sabah dengan 22 mata pelajaran mencatatkan pencapaian kelulusan 100 peratus.

“Tiga daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan dari segi kualiti berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu Sains, Pendidikan Moral dan Sejarah,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang memperoleh pencapaian terbaik iaitu mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) 4.81 diikuti PPD Tawau (4.83) dan PPD Tenom (5.13).

Sekolah Cemerlang SPM 2018 yang dinilai dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) didahului oleh SM Sains Sabah, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, Penampang; SM Sains Lahad Datu; SMK Agama Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu; SM Islamiah Tawau dan SMK Agama Kota Kinabalu.

Sekolah mencapai Lonjakan Terbaik SPM 2018 ialah SMK Wallace Bay, Tawau; SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu; SMK St Mary, Sandakan; SMK St Patrick, Beaufort; SMK Timbua, Ranau; SMK St Michael, Penampang dan SMK Ulu Sugut, Ranau. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *