Sabah, Sarawak boleh saman Putrajaya jika tak laksana MA63

KOTA KINABALU: Seorang pakar undang-undang berkata, Sabah dan Sarawak boleh menyaman kerajaan persekutuan jika cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Presiden Persatuan Undang-undang Sabah, Brenndon Soh berkata, peruntukan di bawah Perkara 8 Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membenarkan negeri mengambil sebarang tindakan sewajarnya untuk melaksanakan cadangan IGC.

“Saya percaya ia agak jelas mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian antara Sabah dan Sarawak serta kerajaan persekutuan seperti yang berlaku sebelum ini dengan Kelantan dan Terengganu.

“Saya tidak setuju tindakan sedemikian diambil, tetapi ada badan kehakiman untuk menafsir dan menjelaskan pertikaian serta definisi membabitkan hak istimewa dan hasil tertunggak kepada negeri-negeri,” katanya selepas perbincangan sebuah panel anjuran IDS Sabah di sini, semalam.

Penduduk di Sarawak menyertai Perhimpunan Aman Solidariti MA63 di Padang Merdeka, Kuching, pada 19 Januari lalu. Perhimpunan itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan hak Sarawak kepada rakyat negeri itu. (Gambar Bernama)

Bagaimanapun, beliau mendapati jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan tahun lalu itu, menggesa pihak berkepentingan, termasuk orang ramai tidak menggagalkan usaha itu.

Ia termasuk mencadangkan saluran lain untuk menyelesaikan isu berkaitan hak istimewa dan hasil tertunggak kepada Sabah.

Soh berkata, jawatankuasa itu bersama jawatankuasa kerja dan teknikal perlu diberikan ruang untuk menjalankan tugas mereka supaya rakyat boleh melihat jika mereka mampu mencapai persetujuan berhubung apa yang sepatutnya diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Semakin ramai orang menyedari hak yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak, semakin baik.

“Orang ramai yang akan terjejas. Jadi, orang ramai yang berhak tahu mengenainya. Mereka patut bersuara.”

Katanya, jika semua gagal dilaksanakan, penilai bebas boleh dilantik di bawah Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan, di mana cadangannya adalah muktamad. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *