Pulau Mantanani dan Teluk Darvel bakal diwartakan kawasan perlindungan marin

Lubang Biru ditemui di Terumbu Tingkayu oleh sekumpulan penyelam skuba di Teluk Darvel.

SEMPORNA: Kompleks Pulau Mantanani di Kota Belud serta Teluk Darvel di Lahad Datu akan diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin sebelum 2023.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Jamili Nais berkata langkah itu selaras dengan peta lakar TTS untuk mewartakan 10 peratus kawasan perairan Sabah sebagai kawasan perlindungan marin menjelang 2023.

“Teluk Darvel yang berkeluasan kira-kira 100,000 hektar dan merangkumi 50 buah pulau dijangka dapat diwartakan lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini atau dalam suku pertama tahun depan,” katanya ketika ditemui  selepas program pembersihan sampah di dasar laut dan pantai Taman Marin Tun Sakaran di sini baru-baru ini.

Katanya kompleks Pulau Mantanani pula dijangka dapat diwartakan dalam tempoh dua tahun lagi.

 Menurutnya langkah menjadikan Teluk Darvel sebagai kawasan perlindungan marin adalah susulan dapatan Yayasan Sabah menerusi ekspedisi saintifiknya yang antara lain menemukan beberapa tapak menyelam ikonik seperti ‘Lubang Biru’ (Blue Hole) serta sumber marin termasuk penyu liar dan terumbu karang yang sihat.

Kawasan itu katanya berpotensi dipulihara untuk dijadikan kawasan pelancongan antarabangsa.

Laporan portal berita tempatan sebelum ini memetik seorang pengusaha selaman tempatan, Glen Hapirulla yang juga penyelam berpengalaman, sebagai berkata terdapat 55 tapak selaman skuba telah diteroka termasuk Blue Hole (atau turut dikenali Blue Ring Reef) di perairan Silam sejak 2009.

Sementara itu, Jamili berkata Pulau Mantanani pula semakin mendapat tempat dalam kalangan penyelam antarabangsa. – Bernama 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *