Pemimpin akar umbi berperanan besar dalam bantu jaga keselamatan

Ewon (duduk tengah) dan Mohd Zaidi (duduk dua kanan) bergambar bersama para pegawai polis Kota Belud dan pemimpin akar umbi kawasan Kadamaian yang hadir pada majlis itu. Gambar Facebook Pages Ewon Benedick

KOTA BELUD – Pemimpin akar umbi terutama Ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berperanan besar membantu pihak keselamatan menjaga keharmonian dan keselamatan di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata sebagai pemimpin peringkat akar umbi, mereka berperanan sebagai duta keharmonian dan keselamatan di kawasan masing-masing seterusnya memastikan keselamatan kampung mereka sentiasa terpelihara.

“Kita boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah berkaitan jenayah keselamatan dan ancaman keharmonian bermula dengan diri sendiri dan di rumah kita sendiri. Misalnya memastikan diri kita, keluarga dan rumah kita bebas daripada pendatang asing tanpa izin, bebas jenayah narkotik, bebas jenayah sivil lain dan bebas jenayah salah guna media sosial dan sebagainya.

“Begitu juga soal keselamatan dan keharmonian di kampung, daerah dan negara kita, ia adalah tanggungjawab bersama yang harus bermula dengan tindakan dan kesedaran diri kita,” katanya pada Program Taklimat Keselamatan kepada Ketua Adat dan Pengerusi MPKK peringkat Dewan Undangan Negeri Kadamaian yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Mohd Zaidi Abdullah di sini, hari ini.

Ewon yang juga Anggota DUN Kadamaian mahu pemimpin akar umbi agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan pasukan keselamatan lain termasuk memberikan maklumat berkaitan keselamatan di kampung mereka.

Sementara itu Mohd Zaidi berkata, taklimat itu bertujuan memberi penerangan kepada pemimpin akar umbi mengenai peranan dan tanggungjawab bersama mencegah jenayah dan menjaga keselamatan di kawasan kampung.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *