Pantau perkembangan projek sekolah daif, baharu di Putatan

PEMBANTU Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai (dua dari kiri) melawat tapak pembinaan SMK Petagas, hari ini. – Foto Ryan Stanley

PUTATAN: Kerajaan negeri akan terus memantau rapat perkembangan projek pembangunan sekolah daif dan sekolah baharu di daerah ini supaya dapat disiapkan mengikut jadual.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai, berkata ini kerana kerajaan negeri komited membangunkan infrastruktur pendidikan di daerah ini dengan mengambil kira keperluan murid dan pelajar yang semakin meningkat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, berkata projek sekolah daif dan pembinaan sekolah di daerah itu dapat membantu keperluan murid dan pelajar, sekali gus mengatasi isu kapasiti sekolah yang mencapai tahap maksimum.

“Saya dari masa ke semasa perlu memberikan laporan terhadap perkembangan setiap projek di kawasan (Putatan) kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bagi mengenalpasti kedudukan projek dilaksanakan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat ke tapak cadangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tombovo, SK Petagas dan tapak pembinaan SMK Petagas, hari ini.

Mengulas lanjut, Uda berkata ia adalah lawatan kerja beliau selaku ADUN Petagas terhadap pelaksanaan projek di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mengenai perkembangan pelaksanaan projek pembinaan SMK Petagas, katanya ia dijangka siap pada tahun hadapan, sekali gus dapat menampung keperluan pelajar di daerah ini.

Beliau berkata, sekolah baharu yang akan menempatkan 36 bilik darjah dan dilengkapi bangunan kuarters guru, dewan khas serta dewan perhimpunan itu bernilai kira-kira RM39 juta.

“Pembinaan sekolah ini mengikut jadual dan dijangka siap tahun depan. Sekolah ini memang perlu disiapkan dengan segera kerana pada masa ini, cuma ada dua sekolah menengah di Putatan iaitu SMK Tansau dan SMK Putatan.

“Kedua-dua sekolah ini sudah melebihi kapasiti maksimum. Jadi, dengan siapnya projek ini, diharap dapat menampung keperluan pelajar,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *