Mayat Bayi Bertali Pusat Ditemui Di Tapak Pelupusan Sampah

MAYAT bayi lelaki yang ditemui dibuang di tapak pelupusan sampah dekat Bukit Gemuk di Jalan Bombalai, Tawau, Sabah, pagi tadi. FOTO ihsan

Buang bayi macam sampah!

MAYAT bayi lelaki masih bertali pusat ditemui dibuang di tapak pelupusan sampah dekat Bukit Gemuk di Jalan Bombalai, Tawau, Sabah, pagi tadi.

Mayat bayi malang itu ditemui seorang pekerja pemungut sampah dalam keadaan sempurna tanpa pakaian kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata, lelaki terbabit kemudian membalut mayat bayi itu menggunakan sehelai kain batik yang ditemuinya tidak jauh dari lokasi kejadian.

Pekerja pemungut sampah menujukkan lokasi bayi malang itu ditemui- FOTO FACEBOOK BESTAWAUfm

Katanya, lelaki itu kemudian memaklumkan penemuan mayat bayi terbabit kepada seorang ahli keluarganya sebelum menghubungi polis.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat bayi jantina lelaki itu masih bertali pusat dan terdapat kesan kebiruan pada badannya yang dianggarkan meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu.

“Siasatan juga mendapati tiada saksi melihat mayat itu dibuang memandangkan kawasan kejadian berkeluasan empat hektar iaitu tapak pelupusan sampah bagi kawasan sekitar daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, kawasan itu dikunjungi pemungut sampah hampir setiap masa bagi mencari barang yang boleh dikitar semula.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menambah mayat bayi dihantar ke Hospital Tawau bagi tujuan bedah siasat. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *