Lupus Malaysia Airlines pilihan lebih baik

Melupuskan Malaysia Airlines Bhd atau mencari rakan kongsi strategik adalah pilihan lebih baik bagi kerajaan berbanding menutup operasinya. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Melupuskan Malaysia Airlines Bhd atau mencari rakan kongsi strategik adalah pilihan lebih baik bagi kerajaan berbanding menutup operasinya, demikian menurut Hong Leong IB Research (HLIB).

“Kami merasakan adalah bijak bagi kerajaan jika melupuskan Malaysia Airlines dan bukan menutupnya, atau mencari rakan kongsi strategik.

“Ia akan akan menyelesaikan masalah aliran tunai keluar kerajaan sambil mengurangkan kesan keseluruhan ke atas pemberhentian pekerja, kerana entiti pengambilalihan masih lagi memerlukan tenaga kerja untuk menjalankan operasi Malaysia Airlines,” katanya dalam satu nota, hari ini.

Firma penyelidikan itu mengekalkan panggilan neutral terhadap sektor penerbangan berikutan laporan kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah terhadap Malaysia Airlines, termasuk kemungkinan menutup syarikat penerbangan nasional itu.

Pertimbangan itu dibuat kerana kerugian dihadapi Malaysia Airlines sejak beberapa tahun lalu yang menyumbang sebahagian besar susut nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

HLIB berkata keinginan dan kemampuan Khazanah untuk menampung kerugian syarikat penerbangan itu masih diragukan.

Ia berpendapat Malaysia Airlines bukan sebahagian daripada portfolio teras Khazanah dan sayap pelaburan kerajaan itu mungkin bersedia untuk berpisah dengan syarikat penerbangan nasional terbabit.

Sementara itu, HLIB berkata, kumpulan AirAsia Bhd bakal mendapat manfaat penguasaan pasaran jika kerajaan menutup Malaysia Airlines.

Ia berkata pilihan yang dibentangkan oleh kerajaan, termasuk kemungkinan menutup atau melepaskan syarikat penerbangan itu akan menyebabkan pemotongan kapasiti kepada Malaysia Airlines, yang boleh memberi manfaat kepada AirAsia dalam mendapatkan dominasi pasaran.

“Bagaimanapun, ini adalah petanda negatif kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek, disebabkan aliran trafik lapangan terbang yang lebih rendah,” katanya.

HLIB menaikkan cadangan ‘beli’ kepada saham AirAsia daripada ‘pegang’ sebelum ini berikutan kejatuhan harga sahamnya baru-baru ini, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.20.

Dalam pada itu, ia mengekalkan panggilan ‘pegang’ saham MAHB dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM7.50.

“Kehilangan Malaysia Airlines sebagai pesaing utama AirAsia (termasuk AirAsia X Bhd) pastinya akan meningkatkan kedudukan pasaran AirAsia di Malaysia.

“Malaysia Airlines kini memiliki 20.6 peratus penguasaan pasaran untuk trafik penerbangan antarabangsa dan 32.3 peratus untuk trafik penerbangan domestik di KLIA dan klia2, manakala anggaran 35 peratus untuk trafik penerbangan di lapangan terbang lain,” katanya.

Mengenai MAHB pula, HLIB berkata penstrukturan semula di Malaysia Airlines boleh menjejaskan trafik penumpang dan potensi pertumbuhan pendapatan.

“Kami menjangkakan bahawa slot penuh yang diambil oleh syarikat penerbangan lain dalam penggantian Malaysia Airlines tidak berlaku segera,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *