Singki antara 4 tan sampah dikutip di Taman Marin Tun Sakaran

SEMPORNA, 12 Mac – Singki adalah antara 4,120 kilogram sampah yang dikutip di dasar laut serta pesisir pantai Taman Marin Tun Sakaran hari ini sempena program pembersihan sampah anjuran Taman- Taman Sabah (TTS) serta 32Marine.

Program bermula 7.30 pagi itu melibatkan 440 sukarelawan termasuk penyelam skuba selain wakil daripada agensi kerajaan dan pengusaha pelancongan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Mohd Amin Mem ketika ditemui berkata usaha murni semua pihak ini bagi memastikan Semporna bebas sampah selain memberi perlindungan dan pemuliharaan kepada sumber kawasan Taman Marin di daerah ini.

Menurutnya, berdasarkan kajian dijalankan pihaknya, setiap tahun lapan juta tan sampah dibuang ke laut dan 80 peratus sampah itu dari tanah besar.

“Jumlah sampah dibuang ini bersamaan dengan berat 112,000 kapal Boeing 737 dan justeru itu marilah kita bersama-sama melindungi dan memastikan sumber-sumber tarikan pelancong khususnya di Semporna ini dapat dijaga secara mapan dan lestari,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengasas 32Marine Aaron Teo berkata peningkatan penduduk yang tinggal di sepanjang pantai Sabah selain pertambahan kedatangan pelancong menjadikan isu sampah memerlukan lebih perhatian.

“Matlamat program ini adalah untuk mengurangkan pencemaran plastik dan memberi kesedaran kepada isu penting menerusi penganjuran dan penyertaan dalam acara pembersihan, merekodkan sampah yang dikumpul dan memperkasakan rakyat tempatan melalui pendidikan dan penyertaan aktif,” katanya.

Selain itu katanya, 32Marine berharap dapat menyatukan penduduk tempatan dan bekerjasama untuk mencapai hasrat Sabah yang lebih bersih.

Pada 15 Sept 2018 iaitu Hari Pembersihan Sedunia, 32Marine dan kakitangan Taman-Taman Sabah bekerjasama buat pertama kali menganjurkan acara pembersihan laut dan pantai di Taman Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu.

32Marine adalah organisasi pemuliharaan alam sekitar yang berpangkalan di Kota Kinabalu.

— BERNAMA

Sumber Gambar : Facebook 32Marine
Sumber Gambar : Facebook 32Marine

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *