Sabah, Sarawak wajar terima agihan belanjawan, kerusi Parlimen lebih seimbang

Jamawi Ja'(kanan) bersama Keith Soh pada Perbincangan Panel ‘Hasil Pendapatan’ Sumber Di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kota Kinabalu, hari ini. – NSTP/Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung perlu diterjemahkan melalui peruntukan perbelanjaan dan agihan kerusi Parlimen yang lebih adil dan seimbang berbanding sebelum ini.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Tan Sri Simon Sipaun, mendakwa berdasarkan situasi ketika ini, agihan peruntukan diterima Sabah daripada Kerajaan Persekutuan, tidak menggambarkan nilai yang adil.

“Saya masih ingat bajet Kerajaan Persekutuan pada 2011 contohnya, Sabah mendapat kira-kira RM4.8 bilion, Semenanjung kira-kira RM110 bilion, malah ada satu projek di Kuala Lumpur peruntukannya RM5 bilion, lebih besar berbanding peruntukan untuk Sabah.

“Ini tidak adil kepada Sabah kerana Semenanjung sudah maju dalam segenap perkara, ia lebih kecil berbanding saiz Sabah dan Sarawak, malah Sarawak saja hampir seluas Semenanjung,” katanya dalam ucapan pembukaan Perbincangan Panel ‘Hasil Pendapatan’ Sumber Di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini, hari ini.

Perbincangan atau forum anjuran IDS itu disertai dua ahli panel, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar dan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Brenndon Keith Soh.

Simon berkata, ketidakseimbangan itu menyebabkan Sabah tidak banyak berubah, miskin dan jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding Semenanjung walaupun negeri ini kaya sumber alam termasuk minyak dan gas.

“Saya percaya, bukan ini dijangkakan oleh pemimpin kita yang terdahulu kira-kira 56 tahun lalu ketika sebuah negara dipanggil Malaysia dibentuk pada 16 September 1963. Jika tidak, apa gunanya kita menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Beliau berkata, Sabah layak menuntut 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri ini seperti dipersetujui dalam MA63 dan ia sepatutnya berbeza dengan jumlah peruntukan diagihkan kerajaan Pusat kepada Sabah seperti difahami kebanyakan pegawai persekutuan.

Sementara itu, Jamawi berkata, hanya melalui kesungguhan politik dapat memastikan hak Sabah yang terkandung dalam MA63, termasuk berkaitan hasil dikutip kerajaan Pusat dapat dikembalikan kepada rakyat negeri ini.

“Kita berharap dengan pembentangan usul untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Sabah dan Sarawak berubah. Apa yang penting ialah usaha daripada kerajaan hari ini untuk merealisasikannya.

“Kita sedar ketika usul meminda Perlembagaan hingga kedudukan Sabah dan Sarawak diturunkan setaraf negeri lain di Semenanjung pada 1976. Bukan pemimpin kita tidak membantah, tetapi suara mereka ketika itu tidak cukup kerana dua pertiga ahli dewan (Dewan Rakyat) menyokong usul itu,” katanya.

Pindaan itu, katanya, menyebabkan Sabah kehilangan 26 jenis hak, antaranya berkaitan kedudukan bahasa Inggeris, pendidikan, keselamatan, minyak dan gas serta tanah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *