Remaja antara tiga ditahan pecah rumah di Semporna

PETER (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan tiga suspek curi. Ihsan Polis

POLIS menahan tiga suspek termasuk dua remaja, masing-masing lelaki dan perempuan berusia 17 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar Semporna.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang lagi pemuda berusia 19 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Semporna antara 8 hingga 10.30 malam, Isnin minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Anak Umbuas berkata, susulan penahanan ketiga-tiga suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi di daerah ini.

Katanya, hasil soal siasat ke atas semua suspek, polis menemui beberapa barangan berharga dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah yang didalangi mereka.

“Antara barangan curi yang diperoleh daripada suspek termasuk komputer riba, dua telefon bimbit Iphone 8 serta masing-masing satu telefon bimbit jenama Vivo dan Oppo.

“Turut dirampas aksesori lain untuk telefon bimbit serta cermin mata hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peter berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *