Rebut kawasan sampai tergolek dalam perigi

DUA harimau bintang terjatuh dalam perigi ketika bergaduh. -Foto AGENSI

NEW DELHI: Dua harimau bintang yang tergolek ke dalam sebuah perigi sedalam 15 meter di Bhatkalwadi, Maharashtra ketika bergaduh berjaya diselamatkan dari lemas, baru-baru ini.

Harimau bintang jantan yang dianggarkan berusia tujuh atau lapan tahun itu dilihat bercakaran berhampiran sebuah ladang tebu kerana perebutan kawasan, pagi Jumaat lalu.

Daily Mail melaporkan, penduduk kampung menghubungi Pusat Penyelamat Harimau Bintang Manikdoh di Junnar kerana bimbang haiwan itu akan lemas dalam air mencecah paras pinggang.

Pegawai perlindungan hidupan liar memandu sejauh kira-kira 80 kilometer ke perkampungan itu dan mengeluarkan harimau bintang terbabit menggunakan sangkar kayu besar yang diturunkan ke dalam perigi.

Ketika itu, dua harimau bintang berkenaan sudah berhenti bergaduh dan dalam keadaan lemah.

Penduduk yang mengerumuni perigi itu turut menjerit kata-kata semangat bagi memujuk dua haiwan terbabit memasuki sangkar.

Operasi itu mengambil masa tiga jam dan kedua-dua harimau bintang berkenaan dihantar ke pusat penyelamat untuk rawatan dan pemantauan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *